AM

Malaysia Sasar Perkukuh Keupayaan Teknologi Pertahanan, Kurangkan Kebergantungan Asing

01/07/2026 02:00 PM

Daripada Diah Nor Iscahyono Mohd Jaiz Masyhuri

CANBERRA, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperkukuh keupayaan teknologi pertahanan domestik bagi meningkatkan Sovereign Defence Capability (keupayaan pertahanan berdaulat) sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap aset luar negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah strategik itu penting bagi membolehkan negara berdiri sendiri dalam memenuhi keperluan pertahanannya, selain menyumbang kepada kestabilan pertahanan serantau.

“Semua pihak mahu melihat adanya keupayaan untuk menjayakan Sovereign Defence Capability, maknanya sesebuah negara itu tidak bergantung keperluan pertahanannya kepada negara lain.

"Peningkatan keupayaan kedaulatan pertahanan domestik secara tidak langsung akan membolehkan Malaysia membantu memperkuat tahap keselamatan di rantau Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International (RTI), di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Mengulas kerjasama strategik itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan mengalu-alukan inisiatif berkenaan yang disifatkan mampu mempercepat pembangunan keupayaan teknologi aeroangkasa bagi memperkukuh sektor pertahanan negara.

Beliau berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada Weststar Defence membangunkan keupayaan dalam pengeluaran produk pertahanan, malah membolehkan syarikat tempatan itu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global RTI.

"Kerjasama ini akan membolehkan negara melalui Weststar membangunkan kemampuan dalam pengeluaran produk pertahanan, di samping menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global bagi RTI," katanya.

Beliau berkata pendekatan inovatif yang diterajui oleh Weststar Defence itu selari dengan strategi pertahanan negara, khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani cabaran konflik geopolitik serta taktik peperangan asimetri.

Selain itu, katanya, pemeteraian kerjasama strategik itu turut mencerminkan hubungan baik antara Malaysia dan Australia khususnya menerusi Strategi Pertahanan Nasional Australia 2026 yang baru dilancarkan.

Beliau berkata dasar berkenaan yang disokong oleh Program Pelaburan Bersepadu memberi penekanan kepada pendekatan Australia untuk membantu pembangunan keupayaan pertahanan dalam kalangan negara sahabat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575260