KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Usaha memperkukuh pengeluaran benih bawang tempatan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dijangka mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang kira-kira RM300 juta, sekali gus mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 30 peratus menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata pembangunan varieti bawang seperti BAW1, BAW2 dan BAW3 membuka peluang kepada pengembangan industri bawang serta memperkukuh keselamatan bekalan makanan negara.
“Setakat ini kami mengimport 100 peratus bawang dari India dan usaha pembangunan benih (bawang) tempatan ini kini dijalankan di Perak, Sabah dan Kelantan oleh MARDI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Agromakanan anjuran MARDI di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Chan berkata sehingga kini MARDI menghasilkan 59 varieti padi, termasuk MR297 yang diperkenalkan pada 2016 dan kini ditanam di lebih 60 peratus kawasan jelapang padi negara.
Beliau berkata varieti berkenaan memberi impak ekonomi yang signifikan kepada industri padi dengan nilai dianggarkan RM1.66 bilion.
Beliau berkata usaha memperkukuh produktiviti sektor padi diteruskan menerusi pengenalan varieti MR333 (Menora) yang dilancarkan tahun lepas bagi meningkatkan hasil pengeluaran serta daya saing industri.
Dalam sektor ternakan pula, Chan berkata ayam Saga hasil teknologi pembiakbakaan MARDI dijangka menyumbang kepada sasaran meningkatkan populasi ayam kampung asli daripada empat peratus kepada 10 peratus menjelang 2040.
Beliau berkata MARDI turut membangunkan jagung bijian hibrid tempatan yang berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian bernilai lebih RM3 bilion setahun bagi memenuhi permintaan kira-kira 2.5 juta tan metrik.
“Pembangunan varieti hibrid tempatan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan import sepenuhnya, menstabilkan kos pengeluaran serta mengukuhkan rantaian bekalan industri ternakan negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk menjadikan nanas sebagai buah kebangsaan, Chan berkata kementerian masih meneliti perkara berkenaan dan belum membuat sebarang keputusan.
-- BERNAMA