AM

SPA Terus Tambah Baik Kaedah Pengambilan Penjawat Awam - Pengerusi

01/07/2026 04:25 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sentiasa menambah baik kaedah pengambilan penjawat awam, termasuk Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) bagi memastikan mekanisme pemilihan kekal relevan serta berupaya mengenal pasti calon terbaik.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata penilaian itu dibuat secara berterusan selepas setiap sesi pengambilan, mengambil kira perubahan generasi, keperluan semasa perkhidmatan awam serta keberkesanan kaedah sedia ada.

"Setiap kali pengambilan kita akan membuat penilaian sama ada kaedah yang digunakan itu sesuai ataupun tidak dengan keadaan semasa.

“Ini kerana isu generasi juga berbeza. Generasi Z, Generasi X dan Generasi Y mempunyai karakter yang berbeza, jadi kaedah penilaian juga perlu berubah mengikut kesesuaian,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas meninjau pelaksanaan Profession Assessment Centre (PAC) dan Ujian kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) bagi pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), di sini hari ini.

Ahmad Jailani menegaskan SPA tidak pernah menganggap mekanisme sedia ada sebagai yang terbaik dan akan terus meneliti kaedah lebih berkesan bagi mengenal pasti bakat terbaik untuk diserap dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata PSEE atau ujian psikometrik didakwa menyebabkan ramai bakat terpinggir daripada menyertai perkhidmatan awam turut dinilai keberkesanannya, namun setakat ini kaedah itu masih antara pendekatan terbaik mengenal pasti calon paling serasi memandangkan jumlah permohonan sangat tinggi setiap tahun.

"Apa yang kita adakan dalam penilaian itu adalah satu bentuk penilaian psikometrik yang melihat dari segi elemen-elemen dirinya sendiri.

“Contohnya integriti, sahsiah, ataupun keseimbangan emosinya. Kita ada beberapa teras dalam kita membuat penilaian yang menentukan keserasian calon dengan jawatan yang bakal mereka duduki itu," katanya.

Ahmad Jailani berkata calon yang tidak melepasi PSEE tidak boleh dianggap gagal, sebaliknya mereka tidak mencapai tahap keserasian ditetapkan bagi jawatan berkenaan.

“Mereka yang tidak melepasi PSEE bukan bermakna mereka tidak berkebolehan atau tidak layak menjadi penjawat awam. Mereka mungkin lebih sesuai untuk jawatan lain yang mempunyai skop tugas dan keperluan berbeza,” katanya.

Beliau berkata bagi pengambilan PTD tahun ini, hampir 100,000 permohonan diterima sebelum disaring kepada 7,338 calon yang melepasi PSEE untuk dipanggil ke peringkat PAC dan UKJK dengan 43 daripadanya merupakan calon Orang Kurang Upaya (OKU).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575323