Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 1 Julai (Bernama) -- Kewangan mampan semakin menjadi arus perdana dalam sektor perbankan susulan lonjakan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV), rumah hijau dan pelaburan rendah karbon, sekali gus mendorong institusi kewangan memperluas tawaran pembiayaan serta pelaburan.
Trend ini ketara di Asia Tenggara, khususnya dalam pasaran EV.
Menurut International Energy Agency (IEA), jualan kereta elektrik di Malaysia meningkat dua kali ganda pada 2025, manakala Indonesia mencatat pertumbuhan lebih dua kali ganda tahun ke tahun, mencerminkan penerimaan pengguna terhadap pengangkutan rendah karbon serta keperluan pembiayaan yang menyokong peralihan tenaga.
Bagi Kumpulan Maybank, perkembangan itu mengukuhkan keyakinan untuk memperluas sasaran kewangan mampan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Maybank Datuk Shahril Azuar Jimin berkata, bank itu komited menggerakkan RM300 bilion (US$73 bilion) pembiayaan mampan di seluruh ASEAN antara 2026 hingga 2030, dengan pelaksanaan berada pada landasan tepat kurang enam bulan selepas dilancarkan.
“Kami belum pun memasuki enam bulan pertama pelaksanaan, namun kemajuan adalah menggalakkan,” katanya kepada Bernama di luar acara utama sempena penganjuran sulung Maybank Indonesia Sustainable Finance Forum 2026 di sini.
Beliau berkata, permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan turut terbukti dalam komitmen lima tahun sebelumnya apabila kumpulan itu menggerakkan RM176 bilion pembiayaan mampan menjelang akhir 2025, melebihi dua kali ganda sasaran awal RM80 bilion yang diumumkan pada 2021.
“Permintaan memang wujud. Dahulu ada persepsi isu kecairan, tetapi hakikatnya tiada. Bank bersedia menyokong kelestarian dan pembiayaan mampan,” katanya.
Di Malaysia, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air meningkatkan kuota kediaman di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering – NEM) sebanyak 100 megawatt pada Mei 2025 selepas peruntukan sedia ada habis dilanggan, membolehkan lebih banyak isi rumah memasang sistem solar fotovoltaik bumbung.
Shahril berkata, perubahan permintaan turut meluaskan skop kewangan mampan melangkaui projek hijau tradisional. Rangka Kerja Produk Mampan Maybank kini merangkumi pembiayaan peralihan, pembiayaan EV, rumah hijau, gadai janji hijau, kewangan sosial dan bon hijau.
Transformasi itu juga mengubah peranan bank, dengan pengurus perhubungan kini perlu membimbing pelanggan mengenai isu iklim dan kelestarian, bukan sekadar mengatur pembiayaan.
“Cabaran awal ialah cara komunikasi dengan pelanggan. Ia bukan sekadar ‘ambil ini’, sebaliknya perlu menjelaskan kesan perubahan iklim dan impak sosial sesuatu projek,” katanya.
Seiring itu, Maybank melabur secara agresif dalam pembinaan kapasiti dan pensijilan kelestarian bagi pengurus perhubungan, sekali gus meningkatkan keyakinan kumpulan untuk menunaikan komitmen yang diperluas.
Trend serupa turut berlaku di Indonesia apabila Maybank Indonesia menggerakkan kira-kira Rp17 trilion pembiayaan mampan di bawah komitmen 2021–2025. Ketua Kelestarian Maybank Indonesia, Maria Triffany Fransiska berkata, pelaksanaan komitmen baharu masih di peringkat awal namun menunjukkan kemajuan memberangsangkan, dengan sektor pengangkutan muncul antara segmen terkuat susulan permintaan EV yang terus meningkat.
Portfolio kewangan mampan Maybank Indonesia turut merangkumi pembiayaan perumahan mampu milik dan motosikal elektrik kos rendah untuk komuniti berpendapatan rendah, menzahirkan peranan kewangan mampan dalam memenuhi keperluan harian pengguna di samping projek peralihan berskala besar.
Selain pembiayaan, Maria berkata, Maybank juga mengembangkan ekosistem perbankan mampan. Indonesia menjadi pasaran pertama dalam kumpulan yang memperkenalkan produk deposit alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), manakala Malaysia dijangka menyusul.
Maybank Indonesia juga sedang membuat persiapan untuk membangunkan inisiatif bon hijau sebagai sebahagian strategi kewangan mampan kumpulan.
-- BERNAMA