JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan Kekal Penjara 30 Tahun Suami Isteri Kes Dadah

01/07/2026 06:35 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap sepasang suami isteri selepas didapati bersalah atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Azmi Ariffin, yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan, bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, menolak rayuan Abdul Aziz Yahya dan Ramizah Rahmat terhadap sabitan serta hukuman itu.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 26 Jun lepas, Hayatul Akmal berkata mahkamah mendapati rayuan yang dikemukakan tidak mempunyai merit dan tidak mewajarkan campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya hujahan perayu bahawa dadah itu bukan milik mereka, sebaliknya diletakkan pihak lain, selain dakwaan rumah dan tandas lokasi dadah ditemukan boleh diakses ahli keluarga serta pekerja bengkel, tidak disokong bukti kukuh dan boleh dipercayai.

Beliau turut memutuskan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap kedua-dua perayu adalah adil dan wajar, sekali gus mengekalkannya.

Pada 12 Dis 2024, Abdul Aziz, 54, dan Ramizah, 35, didapati bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan mengedar dadah serta beberapa pertuduhan memiliki dadah.

Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi kesalahan mengedar 415.06 gram dan 92.90 gram methamphetamine. Pasangan itu turut masing-masing dikenakan hukuman penjara tiga tahun kerana memiliki 3.23 gram heroin dan lima tahun penjara kerana memiliki 4.75 gram methamphetamine.

Selain itu, Abdul Aziz dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana memiliki 4.10 gram methamphetamine dan tambahan tiga tahun penjara kerana memiliki 2.58 gram methamphetamine.

Bagaimanapun, dia dikecualikan daripada hukuman sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.

Mahkamah Tinggi memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, Johor, pada 4.55 pagi, 24 April 2021.

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah berkenaan pada awal pagi dan menemukan pelbagai jenis dadah di beberapa lokasi dalam rumah itu, termasuk satu bungkusan yang disorok di bawah jubin lantai.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575456