AM

JAM FAMA Catat Jualan RM46.72 Juta Dari Januari Hingga Mei 2026

01/07/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan nilai jualan RM46.72 juta menerusi 1,833 program yang diadakan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

FAMA dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam memperkasakan rantaian pemasaran agromakanan negara, selain memperluas peluang pasaran kepada usahawan dan akses pengguna kepada bekalan segar serta berkualiti pada harga berpatutan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena penganjuran JAM Edisi Pulau Pinang oleh FAMA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Ibu Pejabat FAMA, Selayang, pada Isnin lepas.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang Kamarul Azlan Mustaffa.

JAM Edisi Pulau Pinang merupakan edisi ketiga yang dianjurkan di Selangor dan menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung dengan nilai jualan RM100,000.

Menurut FAMA, sebanyak 45 lot jualan disediakan menerusi penglibatan 30 usahawan dari Pulau Pinang yang menawarkan pelbagai produk agromakanan berkualiti kepada pengguna.

"Platform ini dilihat sebagai medium untuk mempromosi dan meningkatkan kebolehpasaran produk usahawan, selain mewujudkan jaringan pemasaran lebih luas serta memberi pulangan jualan lebih tinggi kepada mereka," kata kenyataan itu.

Penganjuran program itu turut mendapat sokongan Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol menerusi inisiatif program pembangunan keusahawanan bersama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

FAMA memaklumkan inisiatif itu bertujuan memperkukuh pembangunan usahawan tempatan selain membantu memperluas pemasaran produk usahawan Pulau Pinang.

Program berkenaan menawarkan pelbagai komoditi harian pada harga berpatutan, sekali gus memberi pengguna lebih banyak pilihan mendapatkan bekalan terus daripada pengeluar.

Antara produk yang ditawarkan ialah durian Balik Pulau yang terkenal dengan kualiti premium termasuk varieti Duri Hitam (D200), Udang Merah (D175), Horlor (D163), beberapa varieti durian tempatan lain serta Cempedak King.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan produk industri asas tani dan agromakanan keluaran usahawan Pulau Pinang selain menikmati hidangan ikonik negeri itu seperti nasi kandar, laksa Penang, char kuey teow, mee sotong dan air sarbat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575231