KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu mengambil inisiatif untuk memproses durian menjadi pes setiap hari bagi mengatasi lambakan durian di pasaran negeri itu.
Pengarah FAMA Terengganu Muhamad Fadlee Hassan berkata pihaknya mengaktifkan Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA di Besut sejak 22 Jun untuk menghasilkan pes durian yang digunakan dalam industri hiliran.
“Kita menjangkakan dapat memproses kira-kira 10 metrik tan pes durian sebulan dan pusat tersebut mampu menyimpan kira-kira 16 metrik tan (pes) dalam satu-satu masa.
“Pes atau isi durian segar banyak digunakan dalam industri hiliran untuk dijadikan kuih, aiskrim atau sebagainya dan dijual pada harga RM30 hingga RM40 sekilogram,” katanya selepas program Libat Urus Pelan Pemasaran dan Intervensi Durian 2026 di Pusat Operasi FAMA Kuala Terengganu hari ini.
Muhamad Fadlee berkata kerja pemprosesan itu dilakukan apabila harga durian di ladang jatuh di bawah RM3.50 sekilogram.
Beliau berkata pihaknya juga mengadakan jualan di 11 pusat jualan FAMA di seluruh Terengganu secara pukal dengan harga rendah.
Beliau berkata pengeluaran durian di Terengganu, khususnya di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu tidak terlalu tinggi berbanding negeri lain namun kemasukan bekalan dari luar menyebabkan lambakan berlaku.
-- BERNAMA