EKONOMI

microLEAP, CASB, HDC Lancar Inisiatif Bagi Tingkatkan Akses PKS Kepada Pembiayaan Kontrak Kerajaan

01/07/2026 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil yang terlibat dalam perolehan kerajaan menerusi sistem ePerolehan bakal mendapat manfaat daripada akses yang lebih luas kepada pembiayaan, latihan dan sokongan perniagaan.

Inisiatif berkenaan dilancarkan di seluruh negara hasil kerjasama strategik antara microLEAP PLT (microLEAP), Commerce Access Sdn Bhd (CASB) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC).

Menurut kenyataan dikeluarkan microLEAP, ia bertujuan meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan serta memperluas kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan ditawarkan di bawah Program SARANA, iaitu skim pembiayaan yang ditawarkan melalui pengendali platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Kontrak kerajaan menawarkan peluang pertumbuhan yang besar kepada PMKS. Namun, banyak perniagaan berdepan cabaran modal kerja ketika melaksanakan projek, termasuk keperluan pembelian bahan, kos operasi dan perbelanjaan pelaksanaan sebelum pembayaran diterima daripada agensi kerajaan.

“Bagi menangani cabaran tersebut, kerjasama tersebut menggabungkan penyelesaian pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan ekosistem bagi membantu PMKS melaksanakan kontrak kerajaan dengan lebih berkesan setelah kontrak diperoleh,” menurut kenyataan itu.

microLEAP ialah Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan mengendalikan platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) patuh Syariah, sejak ditubuhkan, microLEAP telah memudah cara lebih RM600 juta pembiayaan kepada perniagaan di Malaysia.

“Kerjasama itu akan menampilkan empat bengkel serantau meliputi Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, dengan program sulung dijadualkan berlangsung di ibu pejabat Halal Development Corporation (HDC) pada 28 Julai 2026.

“Bengkel-bengkel tersebut akan memberikan pendedahan mengenai proses perolehan kerajaan, kesediaan mendapatkan pembiayaan, pelaksanaan projek serta kemudahan pembiayaan yang tersedia kepada perniagaan yang terlibat dalam ekosistem ePerolehan,” menurut microLEAP.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh penyertaan PMKS dalam projek dan peluang perniagaan sektor awam.

“Ramai PMKS mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek kerajaan, bagaimanapun berdepan cabaran mendapatkan modal kerja pada peringkat kritikal pelaksanaan projek. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat merapatkan jurang tersebut dengan menggabungkan penyelesaian pembiayaan, bimbingan praktikal dan sokongan ekosistem bagi membantu lebih banyak perniagaan berkembang melalui kontrak kerajaan.

“Dengan menggabungkan akses kepada pembiayaan, perkongsian ilmu dan penglibatan industri, kami berharap lebih banyak PMKS dapat melaksanakan kontrak dengan lebih berkesan serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Commerce Access Sdn Bhd, Afidah Kamaruddin berkata inisiatif berkenaan akan membantu meningkatkan tahap kesediaan PMKS untuk menyertai perolehan kerajaan.

“Commerce Access Sdn Bhd (CASB) ialah sebuah syarikat penyumberan luar proses perniagaan (Business Process Outsourcing) dan penyedia pengalaman pelanggan (Customer Experience) yang ber ibu pejabat di Petaling Jaya. 

“CASB menyediakan khidmat pusat panggilan (inbound dan outbound), pengalaman pelanggan (CX), latihan serta penyampaian perkhidmatan digital untuk membantu pelanggan kerajaan dan korporat meningkatkan khidmat  pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi,” menurut kenyataan itu lagi.

Empat bengkel yang dirancang itu dijangka melibatkan ratusan PMKS di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan yang tersedia di bawah Program SARANA serta meningkatkan penyertaan PMKS dalam ekosistem perolehan kerajaan.

-- BERNAMA  

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575177