MUNICH, 29 Jun (Bernama-dpa) -- Piala Dunia mencatat beberapa rekod baharu dalam format yang diperluaskan, termasuk dari segi kehadiran penonton dan jumlah jaringan gol pada peringkat kumpulan, menurut badan induk bola sepak dunia, FIFA, lapor agensi berita Jerman (dpa).
FIFA memaklumkan lewat Ahad yang seramai 4,644,549 penonton menghadiri 72 perlawanan peringkat kumpulan, iaitu kira-kira sejuta lebih ramai berbanding 3,587,538 penonton yang direkodkan pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kejohanan pada 1994 yang membabitkan 24 pasukan dan 52 perlawanan secara keseluruhan mempunyai separuh daripada jumlah pasukan dan perlawanan berbanding edisi kali ini yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Purata kehadiran penonton bagaimanapun masih lebih tinggi pada edisi 1994, iaitu 68,991 berbanding purata 64,508 bagi kejohanan kali ini setakat ini.
FIFA turut memaklumkan bahawa sebanyak 215 gol dijaringkan pada peringkat kumpulan, sekali gus menjadi rekod baharu dengan purata tiga gol setiap perlawanan. Sebagai perbandingan, Piala Dunia 2022 yang disertai 32 pasukan menyaksikan 179 gol dijaringkan dalam 64 perlawanan, dengan purata 2.8 gol setiap perlawanan.
Seramai 999 pemain diturunkan oleh 48 pasukan yang bertanding, manakala kapten Kanada, Alphonso Davies, menjadi pemain ke-1,000 yang beraksi pada kejohanan ini apabila beliau membuat penampilan pertamanya sebagai pemain gantian dalam kemenangan Kanada ke atas Afrika Selatan pada pusingan 32 terbaik, Ahad.
Antara statistik lain yang dikeluarkan FIFA ialah sebanyak 2.8 juta gelas bir dan hampir sejuta botol air dijual di stadium, selain 300,000 hot dog.
Pesta peminat rasmi di tiga negara tuan rumah pula menarik lebih 5.5 juta pengunjung yang menikmati lebih dua juta minuman beralkohol dan hampir dua juta minuman ringan.
-- BERNAMA-dpa