JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Wanita Tanpa Identiti Ditemukan Dalam Bagasi Di Kajang

29/06/2026 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Mayat seorang wanita tanpa dokumen pengenalan diri ditemukan di dalam bagasi di sebuah unit pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang, Selangor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata polis menerima laporan penemuan mayat itu pada 8.37 malam sebelum sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati satu mayat perempuan ditemukan di dalam sebuah bagasi di ruang tamu rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Naazron berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Nur Ayuni Aziz menerusi talian 016-2080717 atau talian kecemasan 999 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574329