KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai penjawat awam untuk memperdaya orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.58 petang semalam.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Aidah Yem menerusi talian 010-2176278 bagi membantu siasatan.
Semalam, tular di aplikasi Threads hantaran seorang wanita mendakwa menjadi sasaran cubaan penipuan selepas dihubungi individu yang mengaku sebagai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan pegawai sebuah kementerian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang kegiatan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang menerusi talian 03-89114243.
-- BERNAMA