SUKAN

Haziq, Shan Zhi Juara Pusingan Kedua BAM B-21

28/06/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pemain Selangor Muhammad Haziq Mohd Najib dan Oo Shan Zhi masing-masing muncul juara kategori perseorangan lelaki dan wanita pada pusingan kedua Kejohanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kebangsaan Bawah 21 Tahun (B-21), di Kuantan, hari ini.

Pada aksi final, Muhammad Haziq meraih gelaran kebangsaan pertamanya tahun ini selepas menewaskan wakil BAM, Roslie Razeeq Danial 15-10, 15-7.

Dalam saingan perseorangan wanita, pilihan kedua Shan Zhi mencipta kejutan apabila menundukkan pilihan utama yang juga rakan sepasukan BAM, Lim Zhi Shin 15-6, 19-17.

Menurut kenyataan BAM hari ini, gelaran beregu lelaki menjadi milik gandingan Muhammad Nur Azhar Zunaide-Siau Yu Hang dari Sabah dan Johor selepas mengecewakan pasangan pilihan utama, Nixon Ang Jia Shen-Shim Hymns Isaiah, 15-10, 15-12.

Sementara itu, pasangan pilihan kedua Nuraqilah Maisarah Ramdan-Ong Xin Yee, bangkit selepas tewas pada set pertama untuk merangkul gelaran beregu wanita dengan menewaskan rakan sepasukan negara Dania Sofea Zaidi-Tan Zhing Hui, 14-16, 15-10, 15-11.

Dalam pada itu, pasangan Tan Zhi Yang-Vannee Gobi menjuarai acara beregu campuran selepas menewaskan Nicole Tan Pei En-Loh Ziheng, 13-15, 15-11, 15-12.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574109