SUKAN

Jimmy Sasar Kembali Ke Kelompok 32 Terbaik Dunia Bersama Su Yin

30/06/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pemain beregu campuran negara Jimmy Wong menyasarkan untuk kembali berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bersama pasangan baharunya Cheng Su Yin menjelang penghujung tahun ini.

Jimmy yang pernah menduduki ranking tertinggi kerjaya di tangga ke-23 dunia bersama bekas gandingannya Lai Pei Jing pada Mac lepas, membuat penampilan sulung bersama Su Yin di Kejohanan Malaysia Masters 2026 pada Mei lepas, namun terkandas seawal pusingan pertama.

Bagaimanapun, gandingan Jimmy-Su Yin mencuri tumpuan apabila mengejutkan dunia badminton dengan menewaskan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 23-21, 21-16 pada kejohanan kedua mereka di Terbuka Singapura, seminggu selepas itu.

Kejayaan itu memberi keyakinan kepada Jimmy bahawa beliau mampu kembali menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik dunia, sekali gus meningkatkan peluang untuk beraksi dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi.

“Saya berharap dapat kembali berada dalam kelompok 32 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini supaya dapat beraksi lebih awal dalam kejohanan peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata fokus utamanya ketika ini adalah untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan bersama Su Yin tanpa meletakkan tekanan berlebihan terhadap diri sendiri.

Jika terlalu memikirkan sasaran, ia mungkin memberi tekanan kepada diri sendiri. Jadi, saya hanya mahu fokus dan cuba sedaya upaya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata sasaran Jimmy untuk kembali berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dilihat realistik sekiranya gandingan itu mampu mengekalkan konsistensi.

Katanya tumpuan utama ketika ini adalah kepada dua pasangan utama negara, iaitu Tang Jie-Clarissa dan Jimmy-Su Yin sebagai sandaran bagi memburu slot ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Nova sebelum ini turut mempercepat proses penilaian terhadap gandingan Jimmy-Su Yin yang dilihat sebagai antara harapan utama negara, terutama jika pemain utama beregu campuran negara, Toh Ee Wei, terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

Jimmy dan Su Yin dijadual meneruskan cabaran pada Terbuka Taiwan 2026 penghujung Julai ini bagi mengumpul mata ranking dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575001