JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Ubah Taktik Bawa Masuk Migran Dalam Kumpulan Kecil Elak Dikesan - PGA

28/06/2026 12:16 PM

KOTA BHARU, 28 Jun (Bernama) -- Sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin kini dikesan mengubah modus operandi dengan membawa masuk migran dalam kumpulan kecil bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melaksanakan kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata taktik itu, bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan (OTWK) Batalion 8 PGA dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas apabila menahan 13 warga Myanmar termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan di Kampung Banggol Kemian, Pasir Mas, semalam.

Beliau berkata operasi bermula kira-kira 3.30 pagi selepas sepasukan anggota PGA bertindak atas risikan sebelum mengesan sebuah Proton Exora dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Apabila menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kenderaan terbabit bertindak memberhentikan kereta sebelum melarikan diri ke arah kawasan hutan berhampiran dan gagal dikesan.

"Hasil pemeriksaan menemukan empat lelaki warga Myanmar di bahagian tempat duduk belakang dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah sebelum mereka ditahan," katanya dalam  kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata melalui pemeriksaan lanjut di sekitar hutan lokasi berkenaan, sembilan lagi warga Myanmar yang dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini melalui laluan haram ditahan kira-kira sejam kemudian.

"Kesemua yang ditahan memaklumkan mereka dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok oleh dua lelaki yang tidak dikenali sebelum ditinggalkan secara berperingkat di kawasan hutan bagi mengelakkan pergerakan dalam kumpulan besar dikesan pasukan keselamatan.

"Mereka dipercayai merancang untuk mendapatkan pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata selain menahan 13 warga asing berumur antara 20 hingga 37 tahun, pihaknya turut merampas sebuah Proton Exora bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran berkenaan.

Katanya, semua tangkapan diserahkan kepada BSJ IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573985