PASIR MAS, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 rakit akan dibina bagi membantu penduduk di kawasan berisiko banjir menyelamatkan harta benda dan mengurangkan kerugian ketika ditimpa bencana di daerah Pasir Mas, Kelantan.
Pengarah Eksekutif CREST Dr Yoong Sao Chin berkata inisiatif itu akan dilaksanakan oleh Kelantan Disaster Relief Network (KDRN) dengan kerjasama Crisis Relief Services and Training (CREST) dan Caritas Penang yang sebelum ini turut membina 52 rakit di sekitar Rantau Panjang bagi tujuan sama.
Beliau berkata rakit berukuran 3.7 meter x 3.7 meter itu mampu menampung beban hingga 1,350 kilogram, sekali gus membolehkan sesebuah keluarga menyimpan peralatan elektrik dan barangan keperluan di tempat lebih tinggi apabila air mula naik.
“Rancangan ini bertujuan membantu penduduk menyelamatkan peralatan elektrik dan harta benda ketika banjir. Selain melindungi barangan, rakit ini juga berpotensi membantu menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan.
“Kami berterima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kerana membantu menyalurkan maklumat mengenai penduduk yang memerlukan bantuan rakit,” katanya pada program pembinaan rakit di Kampung Geretak Anak Buaya di sini hari ini.
Yoong berkata kebanyakan penduduk akan berpindah ke pusat pemindahan sementara ketika banjir, namun terpaksa meninggalkan sebahagian besar harta bendar di rumah yang akhirnya rosak akibat ditenggelami air.
Sementara itu, seorang penerima bantuan Ibrahim Mat Zin, 55, berkata banjir setinggi kira-kira 3.7 meter yang melanda kampungnya sebelum ini menyebabkan hampir semua peralatan elektrik di rumah rosak, termasuk peti ais dan mesin basuh.
“Sudah tiga kali rumah saya dilanda banjir besar. Dengan adanya rakit ini, kami dapat memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi dan mengurangkan kerugian apabila banjir berlaku,” katanya.
Nor Faizah Mohd Asri, 30, pula berkata penyediaan rakit itu memberi keyakinan kepada penduduk bahawa lebih banyak harta benda dapat diselamatkan sekiranya kawasan mereka dilanda banjir.
-- BERNAMA