EKONOMI

Pelepasan Cukai Perkhidmatan Ringankan Beban Pengurusan Bangunan Bukan Kediaman - MIPFM

26/06/2026 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas caj perkhidmatan dan sumbangan dana penjelas bagi bangunan bukan kediaman dijangka dapat mengurangkan impak kewangan terhadap pengurusan hartanah strata bukan kediaman, kata Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM).

MIPFM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengecualian cukai yang berkuat kuasa 1 Julai 2026 itu turut memberi kepastian lebih jelas kepada pemilik hartanah, perniagaan serta badan pengurusan dalam merancang perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan.

“Kami menyambut baik dan memuji keputusan kerajaan mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas caj perkhidmatan dan sumbangan dana penjelas bagi bangunan bukan kediaman.

“Pengecualian ini merupakan langkah penting dan tepat pada masanya dalam menangani kebimbangan industri pengurusan hartanah terhadap kesan kewangan cukai berkenaan kepada pemilik hartanah, perniagaan, badan pengurusan bersama, syarikat pengurusan serta penghuni bangunan,” katanya.

Presiden MIPFM Ishak Ismail berkata pengecualian itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam melibatkan pihak berkepentingan industri serta mengambil kira realiti operasi sektor pengurusan hartanah.

“Kami merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kesediaan mendengar pandangan industri serta melaksanakan penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Keputusan ini membuktikan pendekatan dasar berasaskan bukti melalui libat urus konstruktif bersama pihak berkepentingan,” katanya.

MIPFM turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi berkaitan dalam memperkasa dasar yang kukuh, memperkukuh amalan industri serta meningkatkan standard profesional pengurusan hartanah dan fasiliti.

“Kami akan terus memaklumkan ahli mengenai sebarang garis panduan pelaksanaan atau penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573353