Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penurunan harga minyak mentah dijangka mengurangkan tekanan inflasi di Malaysia dan peringkat global, meredakan kebimbangan bahawa bank pusat mungkin perlu mengekalkan kadar faedah pada paras tinggi untuk tempoh yang lebih lama, kata ahli ekonomi.
Harga minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) menurun di bawah US$70 setong manakala minyak mentah Brent diniagakan hanya melebihi US$73 setong pada Rabu, kembali kepada paras sebelum konflik apabila kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap bekalan tenaga global dari Asia Barat mereda.
Situasi itu apabila kapal tangki minyak terus melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia, membantu meredakan kebimbangan mengenai kejutan besar terhadap bekalan minyak global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata normalisasi harga minyak merupakan perkembangan positif, terutamanya selepas kebimbangan bahawa ketegangan geopolitik yang berpanjangan boleh mewujudkan lonjakan kos tenaga yang berterusan.
“Kejutan ekonomi yang dibawa oleh lonjakan mendadak harga minyak mentah akan menjejaskan ekonomi global jika berpanjangan.
“Oleh itu, perkembangan ini seharusnya memberi impak positif kepada Malaysia dan ekonomi global,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak yang rendah dapat membantu meredakan tekanan inflasi dengan mengurangkan kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran dalam pelbagai industri.
Katanya ini akan mengurangkan tekanan ke atas bank pusat di seluruh dunia dan berpotensi mengurangkan keperluan untuk menaikkan lagi kadar faedah penanda aras utama.
Sentimen pasaran menjadi lebih baik sejak kebelakangan ini berikutan kebimbangan mengenai gangguan terhadap penghantaran minyak melalui Selat Hormuz telah mereda, sekali gus membantu menstabilkan pasaran tenaga.
Mengenai sektor minyak dan gas terutamanya Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Mohd Afzanizam berkata persekitaran harga semasa dijangka tidak memberi impak yang ketara kepada pemain industri berikutan kebanyakan mereka telah membuat persediaan untuk menghadapi peralihan tenaga termasuk ke arah penggunaan tenaga boleh baharu.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada import minyak mentah dan bahan api bertapis yang lebih murah, dapat mengurangkan kos syarikat penapisan, pengendali pengangkutan, pengeluar dan pengguna.
Mengenai ringgit, yang kini berada pada paras RM4.14 berbanding dolar AS, katanya mata wang tempatan mungkin berdepan tekanan sederhana jika harga minyak yang rendah menjejaskan terma dagangan Malaysia.
Bagaimanapun, pergerakan dolar AS yang lebih luas dan aliran dana portfolio asing dijangka kekal sebagai pemacu yang lebih penting.
“Kos bahan api yang lebih rendah juga dapat mengurangkan inflasi dan menyokong permintaan domestik, membantu mengimbangi sebahagian daripada tekanan itu,” katanya.
Mengenai pasaran minyak sawit mentah (MSM), Ketua Penyelidikan Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kejatuhan mendadak harga bahan api fosil telah menjadikan biodiesel kurang menarik.
Pada masa yang sama, premium minyak sayuran yang lebih luas berbanding ‘gas oil’ (jenis petroleum) juga telah meningkatkan subsidi yang diperlukan untuk mengekalkan paras pengadunan yang ditetapkan.
Beliau berkata harga MSM boleh terus menurun kepada julat sokongan seterusnya antara US$63 hingga US$61 setong jika tekanan jualan dalam pasaran minyak berterusan, beralih daripada unjuran sebelum ini bahawa harga minyak mentah Brent akan berada pada purata US$85 setong pada separuh kedua 2026 dan US$80 setong pada separuh pertama 2027.
-- BERNAMA