KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Semangat setiakawan dalam bola sepak dan sukan menggantikan formaliti diplomatik pada pagi Jumaat ketika lebih 100 tetamu berkumpul untuk menonton aksi Jepun menentang Sweden dalam tayangan umum pertembungan Kumpulan F Piala Dunia FIFA 2026.
Acara yang dianjurkan oleh Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun, Malaysia (JACTIM) dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia, menghimpunkan orang kenamaan, pegawai daripada komuniti diplomatik serta wakil daripada 30 syarikat Jepun yang berpangkalan di sini untuk memberi sokongan kepada pasukan kegemaran mereka.
Antaranya kerabat diraja Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra sebagai tetamu khas.
Turut hadir duta dan pesuruhjaya tinggi, atau wakil mereka, dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Mexico dan Kesatuan Eropah.
Walaupun perlawanan sengit itu berakhir dengan keputusan seri 1-1, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki berkata kedua-dua pasukan Jepun dan Sweden mempamerkan keazaman dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan.
Menurut kedutaan itu, acara berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada penyokong bersorak untuk pasukan bola sepak kebangsaan Jepun tetapi juga menjadi platform mengeratkan silaturahim dan muhibah menerusi minat yang dikongsi terhadap sukan.
-- BERNAMA