ALOR GAJAH, 17 Jun (Bernama) -- Pengiktirafan sebagai jurulatih muda menerusi penganugerahan watikah bukan penamat perjalanan, sebaliknya menjadi pembakar semangat pesilat muda untuk terus menimba ilmu dan membawa nama sekolah serta Melaka pada peringkat lebih tinggi.
Penerima Watikah Jurulatih Muda Sekolah-Sekolah Menengah peringkat Kebangsaan Nurin Qasdina Zahra' Mohamad Azman,17, berkata pengiktirafan itu memberikan motivasi kepadanya untuk terus memperbaiki diri meskipun telah mencapai tahap tertinggi dalam bidang seni bela diri.
“Bagi saya, walaupun sudah sampai pada tahap ini, ilmu persilatan masih belum mencukupi dan saya perlu terus berkembang serta meningkatkan keyakinan diri.
"Watikah ini juga adalah isyarat untuk terus berlatih dengan lebih baik agar saya dapat membentuk pesilat yang dipertanggungjawabkan kepada saya nanti," katanya kepada Bernama pada Majlis Penganugerahan Tali Pinggang Tinggi dan Watikah Jurulatih Muda Sekolah-Sekolah Menengah peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, di sini hari ini.
Terdahulu, majlis yang disertai 1,000 pesilat muda dari seluruh Malaysia termasuk Sabah itu, dirasmikan oleh Pengetua MRSM Alor Gajah Azaam Yacob.
Daripada jumlah itu, sebanyak 400 pesilat menerima watikah jurulatih muda dengan 80 daripadanya ialah pelajar MRSM Alor Gajah.
Beliau yang turut menerima anugerah khas Pesilat Srikandi Cemerlang itu berkata pengalaman melatih pelajar di sekolah dan di gelanggang luar sebelum ini banyak membantunya memahami kepelbagaian pendekatan dalam menyampaikan ilmu kepada orang lain.
"Setiap jurulatih mempunyai kaedah tersendiri dan seseorang perlu sentiasa berlatih serta mendapatkan pandangan daripada guru bagi membentuk identiti pengajaran yang sesuai dengan kemampuan diri," katanya.
Nurin Qasdina Zahra' berkata penglibatannya dalam dunia silat bermula ketika di tingkatan satu sebagai atlet silat olahraga, sebelum dipilih oleh jurulatihnya untuk menyertai persembahan seni silat di sekolah pada tahun berikutnya.
"Ini semua membuka ruang untuk saya mendalami seni silat dengan lebih baik, malah menjadi persiapan terbaik dalam menghadapi saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) nanti," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih silat MRSM Alor Gajah, Mohd Fauzan Adzim Mazania berkata penganugerahan watikah jurulatih muda dalam seni silat bukan sekadar simbol pengiktirafan, sebaliknya membuktikan seseorang pesilat telah melalui proses latihan berterusan dan mencapai tahap perguruan tertinggi selepas bertahun-tahun mendalami ilmu persilatan.
Antara syarat utama melayakkan seseorang menerima watikah berkenaan adalah penglibatan secara konsisten dalam latihan mingguan, yang menjadi aktiviti rasmi asrama selama tiga tahun.
“Nurin Qasdina Zahra' adalah antara pesilat yang mengikuti latihan mingguan secara konsisten sepanjang tiga tahun dan berjaya melayakkan diri menerima watikah jurulatih kerana mencapai peringkat tertinggi dalam seni Silat Gayung,” katanya.
Beliau berkata ramai dalam kalangan generasi muda lebih cenderung mengukur kejayaan berdasarkan kemenangan pertandingan dan kutipan pingat, sedangkan hakikat sebenar dunia persilatan terletak pada penguasaan ilmu yang diperoleh melalui proses perguruan secara berterusan.
"Ini adalah cabaran terbesar dalam dunia persilatan sebab ramai tidak faham nilai sebenar watikah itu kerana penguasaan seni silat dalam bentuk perguruan memerlukan masa bertahun-tahun sebelum seseorang itu benar-benar layak diiktiraf sebagai guru silat," katanya.
Mengulas perkembangan pesilat di MRSM Alor Gajah, Mohd Fauzan berkata beliau optimis institusi itu mampu melahirkan lebih ramai pesilat berpotensi, memandangkan para pelajar menunjukkan disiplin tinggi serta minat yang mendalam terhadap seni mempertahankan diri tersebut.
Beliau berkata semangat yang ditunjukkan oleh pelajar turut diterjemahkan melalui pencapaian tahunan, sama ada dalam pertandingan silat seni dan silat olahraga, serta diseimbangkan dengan penguasaan dalam pembelajaran di sekolah.
-- BERNAMA