KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, disokong oleh belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun prestasi semalaman Wall Street lemah.
Pada 9.25 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.82 mata kepada 1,718.81 daripada 1,709.99 semasa ditutup pada Selasa selepas dibuka tinggi 12.36 mata kepada 1,722.35.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 313 berbanding 289 manakala 363 kaunter tidak berubah, 1,771 tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 690.97 juta saham bernilai RM335.54 juta.
Pasaran ditutup pada Rabu bersempena dengan cuti umum Awal Muharram.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah apabila aktiviti jualan menguasai pasaran selepas mesyuarat pertama Kevin Warsh sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), dengan pelabur menjangka potensi kenaikan kadar faedah pada tahun ini.
Beliau berkata aktiviti belian dalam pasaran domestik adalah meluas, namun tumpuan adalah pada saham berkaitan indeks yang masih ketinggalan, terutamanya saham telekomunikasi.
“Didorong oleh sentimen positif di Asia Barat, kami menjangka indeks akan mengekalkan aliran meningkatnya dan berada dalam julat 1,705 hingga 1,720 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing meningkat empat sen kepada RM11.20 dan RM5.09, Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM14.58, CIMB naik tujuh sen kepada RM7.85 dan IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM8.84.
Bagi saham aktif, Hong Seng dan Zetrix AI, masing-masing menurun setengah sen kepada satu sen dan 79.5 sen, Tanco naik 2.5 sen kepada 17.5 sen manakala Pentech berkurangan satu sen kepada 30.5 sen dan HHRG mendatar pada lapan sen.
Sum Technology yang baru disenaraikan diniagakan pada 42.5 sen, naik 14.5 sen daripada harga tawaran awam permulaannya.
Kaunter paling untung ialah Hong Leong Industries meningkat 40 sen kepada RM18.88, Allianz menambah 38 sen kepada RM21.38, Dutch Lady naik 24 sen kepada RM32.50 dan Batu Kawan menokok 20 sen kepada RM20.80.
Kaunter paling rugi termasuklah Malaysian Pacific Industries menurun 82 sen kepada RM48.48, Paragon berkurangan 68 sen kepada RM1.61, Nestle merosot 66 sen kepada RM96.14 dan UWC menyusut 15 sen kepada RM6.05.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 45.57 mata kepada 12,707.75, Indeks FBM Top 100 naik 49.45 mata kepada 12,548.84 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 29.87 mata kepada 12,504.61.
Indeks FBM Mid 70 naik 7.30 mata kepada 18,117.87 dan Indeks FBM ACE menambah 4.51 mata kepada 4,781.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 129.29 mata kepada 20,414.05, Indeks Perladangan meningkat 10.59 mata kepada 8,789.96 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.40 mata kepada 188.97 manakala Indeks Tenaga merosot 2.66 mata kepada 761.97.
-- BERNAMA