JENAYAH & MAHKAMAH

Skala Penyelewengan 1MDB Najib Jadikan 'Attila The Hun' Seperti Budak Koir - Hakim Sequerah

16/06/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak begitu besar sehingga menjadikan ‘Attila the Hun’ kelihatan seperti budak koir jika dibandingkan dengannya, menurut Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat pemerhatian itu dalam penghakiman bertulis setebal 810 muka surat yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menggambarkan skandal kewangan yang membawa kepada pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu sebagai antara episod kleptokrasi terbesar di dunia, sebagaimana yang disifatkan media tempatan dan antarabangsa.

"Skala penjarahan yang berlaku (dari sudut kewangan, sudah tentu) menjadikan Attila the Hun kelihatan seperti budak koir jika dibandingkan dengannya," katanya.

Attila the Hun ialah pemerintah yang digeruni dalam Empayar Hun pada abad kelima dan terkenal kerana mengetuai kempen ketenteraan yang memusnahkan pelbagai wilayah di Eropah. Beliau dikenali kerana sifat kejam, kemusnahan yang ditinggalkan serta kegiatan merampas harta, sehingga digelar "The Scourge of God" (Bala Tuhan).

Kempen ketenteraannya mencetuskan ketakutan meluas dan menyebabkan kemusnahan besar terhadap bandar serta wilayah di bawah pemerintahan Rom.

Pada 26 Dis 2025, Hakim Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.4 bilion terhadap Najib, 72, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.

Hampir enam bulan kemudian, dalam alasan penghakiman penuh yang dinanti-nantikan, hakim itu berkata perbicaraan yang bermula pada Ogos 2019 mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan dan berkemungkinan melepasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah di Malaysia.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai rekod yang tidak diingini oleh mana-mana mahkamah.

Hakim itu turut menyatakan bahawa tempoh perbicaraan yang panjang mencerminkan kerumitan kes berkenaan, yang melibatkan sejumlah besar dokumen, ramai saksi serta pelbagai dakwaan yang saling berkaitan dalam skandal kewangan terbesar negara.

Sequerah berkata Najib adalah dalang di sebalik penyelewengan dana RM2.3 bilion melalui tipu daya dan penipuan yang dilakukan proksinya, iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau berkata Najib berganding bahu dengan Jho Low secara berhati-hati dengan membentuk satu rangkaian penipuan yang kompleks dan terancang membabitkan pelbagai transaksi kewangan.

Menurutnya rangkaian itu akhirnya membawa kepada pengaliran dana 1MDB dan melalui beberapa lapisan transaksi, wang berkenaan berakhir dalam akaun bank peribadi tertuduh.

“Bukti jelas menunjukkan ini bukan kebetulan, sebaliknya menggambarkan hubungan di mana Jho Low bertindak sebagai proksi atau ejen kepada tertuduh dalam pengurusan hal ehwal 1MDB.

“Percubaan tertuduh untuk menjauhkan diri daripada Jho Low adalah tidak berasas apabila mengambil kira bukti kukuh yang dikemukakan saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata bukti turut menunjukkan Jho Low terbabit secara aktif dalam urusan 1MDB dengan keizinan jelas daripada tertuduh.

“Keseluruhan bukti, apabila dinilai secara menyeluruh, membentuk pola yang konsisten dan membawa kepada kesimpulan bahawa tertuduh telah mengambil pelbagai tindakan, termasuk yang drastik, berkaitan 1MDB yang sememangnya mempunyai kepentingan baginya,” katanya.

Mahkamah turut mendapati tiada laporan dibuat terhadap Jho Low berhubung salah laku berkenaan dan kegagalan itu dianggap sebagai satu bentuk pengesahan atau pengabaian oleh tertuduh ketika memegang jawatan penting, termasuk Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Tertuduh bukan sahaja mempunyai latar belakang keluarga dan politik yang cemerlang, malah memiliki kecerdasan tinggi berdasarkan latar belakang akademiknya serta pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.

“Sebarang percubaan untuk menggambarkan tertuduh sebagai seorang yang jahil dan langsung tidak menyedari salah laku yang berlaku di sekelilingnya mestilah gagal sama sekali,” katanya.

Menurut Sequerah, dakwaan pembelaan bahawa Najib diperdaya dan ditipu oleh pengurusan 1MDB serta Jho Low didapati tidak mempunyai merit.

Hakim turut menegaskan bahawa apabila skandal itu mula terbongkar, tertuduh didakwa mengambil langkah untuk menutup dan menyembunyikan kesalahan, termasuk membubarkan pasukan petugas siasatan serta cuba memujuk Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan beliau daripada salah laku.

Dalam penghakiman itu, beliau berkata tertuduh tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan, sebaliknya menyalahkan pihak lain, termasuk pengurusan 1MDB.

“Faktor ketiadaan rasa insaf ini amat relevan dalam pertimbangan hukuman,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569323