ARAU, 16 Jun (Bernama) -- Institusi pendidikan Islam perlu terus diperkasa supaya mampu melahirkan generasi seimbang dari sudut intelektual, rohani dan akhlak dalam dunia yang semakin mencabar pada masa kini.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah baginda percaya usaha membina modal insan berkualiti harus berteraskan ilmu, adab dan nilai-nilai Islam sebenar.
“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat agar terus berganding bahu menyokong pembangunan pendidikan Islam demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan negeri yang kita kasihi ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Dewan Filantropi Islam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI) di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan infrastruktur dan ekonomi semata-mata tetapi turut bergantung kepada kekuatan ilmu, keutuhan akhlak dan perpaduan rakyatnya.
“Justeru, saya berharap agar MADI akan terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu serta wadah penyatuan masyarakat dalam membentuk generasi muda yang mencintai agama, bangsa dan tanah air,” titah baginda.
Sementara itu, Raja Perlis bertitah perasmian dewan baharu itu bukan sekadar simbol pembangunan fizikal malah mencerminkan iltizam serta kesungguhan semua pihak dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti demi manfaat warga MADI.
“Saya berharap agar kemudahan yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program ilmu, pembangunan insan dan aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam di negeri Perlis,” titah baginda.
Pada majlis perasmian itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik pengurniaan sumbangan peruntukan daripada MAIPs kepada institusi pendidikan Islam negeri Perlis bagi tahun ini berjumlah RM6,203,500.
-- BERNAMA