KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa cendekiawan Muslim memainkan peranan aktif dalam mempelopori agenda “Diplomasi Intelektual” bagi menterjemahkan kesepakatan kepada dasar konkrit dan penyelesaian dunia sebenar untuk umat Islam.
Beliau berkata diplomasi itu sewajarnya berupaya merapatkan jurang antara teori akademik dan tadbir urus praktikal dalam landskap global yang dibayangi oleh ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik serta krisis nilai yang semakin mendalam, apabila emosi kian meminggirkan kebijaksanaan.
“Jika agenda Diplomasi Intelektual ini dapat direalisasikan, saya percaya Asia Tenggara mampu menawarkan model Islam yang berilmu, bertamadun dan relevan dengan cabaran semasa.
“Model yang tidak ekstrem. Model yang tidak terasing daripada realiti. Model yang mendakap kemajuan sambil memelihara nilai kemanusiaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara Keempat anjuran bersama Liga Dunia Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Asia Tenggara tradisi Islam yang sederhana serta kepelbagaian masyarakat di Asia Tenggara mempunyai keunikan untuk menawarkan Model Teknologi Beretika yang memburu kemajuan tanpa menghakis identiti.
Merujuk kejayaan Malaysia melahirkan huffaz profesional yang cemerlang dalam bidang moden seperti perubatan, kejuruteraan dan kewangan, Ahmad Zahid berkata pembangunan negara perlu mengutamakan pembangunan modal insan berbanding pertumbuhan fizikal semata-mata.
Beliau berkata agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh sebagai laluan strategik untuk memberikan peluang kepada golongan muda Muslim dan huffaz dalam sektor ekonomi yang mempunyai permintaan tinggi.
Dalam kerjasama serantau, Ahmad Zahid menggesa cendekiawan di Asia Tenggara bersatu membentuk barisan untuk menangani ancaman rentas sempadan seperti ekstremisme digital dan maklumat salah, di samping terus memperjuangkan isu kemanusiaan termasuk nasib rakyat Palestin.
Mengenai kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), beliau menyifatkannya ia sebagai serampang dua mata, namun memerlukan panduan etika yang kukuh.
“Kebimbangan saya ialah teknologi tanpa nilai boleh menjadi alat manipulasi. Data tanpa etika boleh mencabuli maruah insan. Algoritma tanpa kebijaksanaan boleh membentuk pemikiran masyarakat secara senyap,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Maqasid syariah wajar dijadikan kompas etika dalam menilai inovasi berdasarkan keupayaannya memelihara agama, kehidupan, daya fikir, keturunan dan harta.
-- BERNAMA