DUNIA

Neymar Jalani Ujian Perubatan Baharu

16/06/2026 04:19 PM

RIO DE JANEIRO, 16 Jun (Bernama-Xinhua) -- Neymar menjalani ujian baharu pada Isnin bagi menilai tahap pemulihannya daripada kecederaan otot betis tahap dua pada kaki kanan, menurut laporan media Brazil yang dipetik Xinhua. 

Pemain berusia 34 tahun itu terlepas perlawanan pembukaan Piala Dunia yang menyaksikan Brazil terikat 1-1 dengan Maghribi pada Sabtu dan masih dihadkan kepada program latihan individu, menurut portal berita O Globo.

Ujian baharu itu bertujuan menentukan sama ada dan bila penyerang Santos FC itu boleh kembali menjalani latihan bersama skuad Brazil.

Neymar, penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan antarabangsa, tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan sejak mengalami kecederaan koyakan ligamen krusiat anterior (ACL) pada Oktober 2023.

Sejak itu, beliau berdepan beberapa siri kecederaan, termasuk kecederaan otot betis, keadaan terbaharu yang dialaminya ketika beraksi bersama Santos pada Mei lalu.

Brazil dijadual mengharungi baki perlawanan Kumpulan C Piala Dunia menentang Haiti di Philadelphia pada Jumaat ini dan Scotland di Miami pada 24 Jun.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569158