ISTANBUL, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Iran bangkit daripada ketinggalan awal untuk mengikat New Zealand 2-2 pada Isnin dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium SoFi, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi.
New Zealand mendahului seawal minit ketujuh menerusi Elijah Just yang menerjah gawang meskipun Iran memulakan permainan dengan aksi lebih agresif.
Ketika New Zealand berusaha menggandakan jaringan, asakan Iran selepas rehat hidrasi membuahkan hasil apabila Ramin Rezaeian menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi jaringan lambungan melepasi penjaga gol.
Dengan kedudukan terikat memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan.
Sekali lagi Just mencuri tumpuan apabila menyudahkan hantaran lintang rendah Chris Wood ke dalam gawang untuk meletakkan skuad All Whites kembali di depan pada minit ke-54.
Bagaimanapun, Iran tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang menarik Rezaeian disudahkan Mohammed Mohebbi menerusi tandukan pada minit ke-64, sekali gus mengikat kedudukan selepas New Zealand mendahului selama 10 minit.
Keputusan itu menyaksikan Iran menduduki tangga teratas Kumpulan G, manakala New Zealand di tempat kedua.
-- BERNAMA-ANADOLU