KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Tinjauan operasi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kekal berdaya tahan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, walaupun bacaan Indeks Sentimen PKS (SSI) yang lebih lemah pada separuh pertama 2026 (S1 2026).
Dalam tinjauan yang dikeluarkan hari ini, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) berkata walaupun SSI bagi separuh pertama 2026 susut kepada paras terendah dalam sejarah iaitu 45.1 berbanding 55.6 pada separuh kedua 2025, majoriti perniagaan masih menjangkakan pertumbuhan jualan, pengembangan dan usaha pemasaran yang berterusan.
“Kebanyakan PMKS khususnya, berhasrat untuk mengekalkan tenaga kerja semasa mereka dan bukannya mengurangkan jumlah pekerja, sekali gus menunjukkan bahawa perniagaan melihat cabaran semasa sebagai satu kitaran dan bersifat sementara.
“Selain itu, kebimbangan mengenai kos pengambilan pekerja pada masa hadapan dan pemerolehan bakat turut mempengaruhi keputusan mereka,” katanya.
Menurut SME Bank, bacaan 45.1 iaitu merosot di bawah ambang 50 mata, menunjukkan penguncupan dalam aktiviti PMKS di tengah-tengah pelbagai cabaran, termasuk perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, pertikaian tarif AS dan pembaharuan dasar domestik.
Tinjauan yang dijalankan antara Januari hingga April 2026 itu, berjaya mengumpul maklum balas daripada 1,803 perniagaan merentasi 40 sektor di seluruh negara, dan menyediakan pandangan mengenai cabaran, keutamaan dan strategi pertumbuhan yang membentuk landskap PMKS dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Walaupun jangkaan pertumbuhan yang lebih lemah, tinjauan itu menunjukkan bahawa kebanyakan PMKS masih menjangkakan peningkatan jualan, terutamanya dalam kalangan firma bersaiz sederhana, dengan 51 peratus responden kekal optimistik mengenai pertumbuhan jualan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Tambahnya, sektor itu terus menunjukkan optimistik dalam pertumbuhan jualan perniagaan, terutamanya aktiviti pergudangan dan sokongan (64 peratus responden), logam asas (63 peratus) dan produk logam fabrikasi (59 peratus).
“Apa yang menarik, pengeluar logam asas menjangkakan persekitaran ekonomi yang lebih lemah, namun masih menjangkakan prestasi jualan jangka pendek yang kukuh, didorong oleh tunggakan pesanan sedia ada, projek infrastruktur yang sedang berjalan dan permintaan kontrak yang kukuh.
“Jangkaan jualan yang positif ini adalah selaras dengan rancangan pengembangan perniagaan mereka,” katanya.
Katanya, industri terlibat turut menunjukkan hasrat pengambilan pekerja yang kukuh, terutamanya dalam logam asas (63 peratus responden), aktiviti pergudangan dan sokongan (55 peratus), walaupun kebanyakan sektor sedang menangguhkan pengambilan pekerja.
Sementara itu, tinjauan tersebut menunjukkan bahawa kira-kira 55 peratus pengeksport menjangkakan peningkatan jualan berbanding 38 peratus firma berorientasikan domestik.
-- BERNAMA