AM

SPRM, TI Terus Perkukuh Kerjasama Perangi Rasuah

16/06/2026 11:53 AM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Transparency International (TI) dalam usaha meningkatkan tadbir urus, integriti, ketelusan dan agenda pencegahan rasuah pada peringkat nasional serta global.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Pengerusi TI Francois Valerian kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman, di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

SPRM memaklumkan Azmi merakamkan penghargaan terhadap hubungan baik yang terjalin dengan TI, selain menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya itu untuk memperkukuh kerjasama dalam mempromosi tadbir urus baik, integriti, ketelusan dan inisiatif antirasuah.

“SPRM komited memperluas kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama baharu yang mampu menyumbang kepada pengukuhan sistem integriti,” menurut kenyataan itu.

Azmi berkata SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), berperanan sebagai Sekretariat Utama Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Beliau berkata menerusi pasukan petugas khas itu dan enam kumpulan fokus CPI, SPRM bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi kerajaan, institusi akademik, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil, bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi CPI Malaysia.

SPRM memaklumkan pencapaian Malaysia dalam skor CPI 2025 meningkat dua mata daripada 50 kepada 52, manakala kedudukan negara bertambah baik tiga anak tangga daripada tempat ke-57 kepada ke-54 dunia.

Sementara itu, Francois berkata peningkatan skor CPI boleh dicapai menerusi pendekatan pencegahan berkesan dan tindakan penguatkuasaan yang konsisten.

Beliau berkata TI mengalu-alukan kerjasama dengan agensi antirasuah, dalam membantu meningkatkan prestasi CPI sesebuah negara.

Francois berkata agensi antirasuah perlu diperkasakan dengan sumber kewangan, modal insan mencukupi dan bebas daripada pengaruh politik, bagi memastikan keberkesanan fungsi serta peranannya.

Beliau turut menyambut baik sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia bagi CPI menjelang 2030.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569017