EKONOMI

Pulau Pinang Capai 81 Peratus Ke Arah Sasaran Penyertaan Wanita Dalam Keusahawanan

15/06/2026 03:17 PM

GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang telah mencapai kemajuan sebanyak 81 peratus ke arah sasarannya untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan di bawah visi Penang2030, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata seramai 4,052 wanita telah menyertai inisiatif keusahawanan berbanding sasaran negeri sebanyak 5,000 peserta dalam usaha Pulau Pinang untuk mencapai 40 peratus penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan menjelang 2030.

Katanya negeri turut menyasarkan untuk melatih 2,000 pemimpin wanita setahun sehingga 2030, dengan seramai 3,916 wanita telah mendapat manfaat daripada program kepimpinan setakat ini.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh barisan pemimpin wanita masa depan,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2026 di sini hari ini.

Chow berkata wanita memainkan peranan asas dan menyeluruh dalam pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang, dengan sumbangan meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan, teknologi, perkhidmatan awam serta ekonomi tidak formal,” katanya.

Beliau berkata wanita yang terlibat dalam perniagaan dari rumah, perusahaan keluarga, perniagaan kecil dan penjagaan komuniti menjadi teras yang penting kepada struktur sosioekonomi negeri dengan menampung keperluan isi rumah dan memperkukuh komuniti.

Katanya Pulau Pinang telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga di semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri, mewujudkan rangkaian 600 pemimpin wanita yang bekerjasama secara langsung dengan komuniti setempat.

Melalui program Wanita Jana Rezeki, wanita daripada isi rumah berpendapatan rendah turut diberi peluang untuk menjana pendapatan dan memperkukuh kebebasan kewangan mereka.

Menurut Chow, Pulau Pinang ialah negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan belanjawan  mengambil kira keperluan gender dan berasaskan penyertaan untuk memastikan keperluan wanita dan keluarga diambil kira dalam dasar dan perbelanjaan awam.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong wanita melalui program, pembiayaan, pembinaan kapasiti dan dasar inklusif, terutamanya dalam Pulau Pinang mengukuhkan kedudukannya dalam semikonduktor, pembuatan termaju, teknologi digital dan inovasi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568668