AM

Bukan Sekadar Tempat Penganjuran, PICCA Teliti Setiap Perincian Sambut Tetamu HAWANA 2026

15/06/2026 12:51 PM

Oleh Farhana Poniman

BUTTERWORTH, 15 Jun (Bernama) -- Kurang seminggu menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, suasana di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth semakin sibuk dengan pelbagai persiapan akhir dilakukan, bagi memastikan perhimpunan terbesar komuniti media negara itu berlangsung dengan lancar.

Dari aspek logistik, teknikal dan keselamatan hinggalah kepada penyediaan makanan serta hospitaliti, setiap perincian diberi perhatian rapi, sebagai persediaan menerima kira-kira 1,200 tetamu termasuk pengamal media, delegasi ASEAN dan jemputan rasmi pada kemuncak sambutan 20 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Konvensyen PICCA James Chang berkata persiapan telah dimulakan sejak dua bulan lepas, menerusi beberapa siri lawatan tapak dan sesi penyelarasan bersama urus setia HAWANA.

“Kita sudah membuat persiapan awal termasuk aspek pemasangan, uji rasa makanan, penyediaan kakitangan serta penyelarasan pelbagai keperluan teknikal.

“Setakat ini, persiapan berada pada tahap sekitar 75 peratus dan baki kerja melibatkan pengesahan susun atur akhir serta penyambutan delegasi dan pengamal media dari dalam serta luar negara,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Chang berkata pihak pengurusan memberi penekanan khusus kepada aspek hospitaliti dan kualiti perkhidmatan, bagi memastikan pengalaman terbaik kepada semua tetamu yang hadir.

Bagi menjamin kelancaran acara, PICCA turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk syarikat utiliti, pihak berkuasa tempatan dan polis trafik bagi menyelaras aspek bekalan elektrik, keselamatan serta pengurusan aliran trafik.

Selain majlis kemuncak HAWANA, Chang berkata Karnival RIUH Pi HAWANA yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun, dijangka menjadi tarikan utama dengan penyertaan lebih 80 reruai serta pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan hiburan dan konsert.

Beliau berkata PICCA menyediakan kira-kira 2,000 petak parkir dalaman dan 1,000 lagi di kawasan sekitar pusat konvensyen berkenaan, justeru menasihatkan orang ramai supaya mengikuti maklumat terkini yang akan disiarkan menerusi saluran media sosial rasmi, bagi mendapatkan maklumat berhubung jadual program, lokasi parkir dan panduan kehadiran.

Mengulas cabaran penganjuran HAWANA, Chang berkata acara itu mempunyai signifikan tersendiri kerana melibatkan kehadiran tetamu antarabangsa serta pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“HAWANA merupakan satu platform untuk menghargai sumbangan wartawan sebagai barisan hadapan dalam penyampaian berita, jadi kami mahu memastikan setiap aspek termasuk perkhidmatan, dekorasi, pencahayaan dan sistem bunyi berada pada tahap terbaik, sebagai tanda penghargaan kepada komuniti media,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pemilihan PICCA sebagai lokasi HAWANA 2026 turut meningkatkan profil pusat konvensyen itu sebagai destinasi acara berskala besar di negara ini.

“Malah, penganjuran acara nasional berkenaan dilihat mampu memperkenalkan Butterworth sebagai destinasi pelancongan perniagaan dan acara yang semakin berkembang di Pulau Pinang,” katanya.

Terletak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang, PICCA siap sepenuhnya pada 2022 selepas projek pembinaannya tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Dengan keluasan 17,828 meter persegi, pusat konvensyen itu telah menganjurkan lebih 50 acara melibatkan persidangan, konvokesyen, majlis anugerah, konsert dan makan malam korporat, termasuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 serta Sambutan Hari Malaysia 2025.

Kemuncak HAWANA 2026 pada 20 Jun ini, bakal menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis berkenaan yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

Tema itu mencerminkan komitmen industri media dalam memperkukuh profesionalisme, integriti dan kredibiliti kewartawanan ketika berdepan cabaran landskap komunikasi yang semakin kompleks.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568595