Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Syarikat Malaysia yang melaksanakan amalan dan piawaian pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh dijangka mempunyai kelebihan daya saing tersendiri dan akses kepada peluang perniagaan di Kesatuan Eropah (EU) dan pasaran antarabangsa lain, menurut pakar pelaporan kemampanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Reporting Initiative (GRI) Robin Hodess berkata syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana, yang menyelaraskan pelaporan kemampanan mereka dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global akan lebih berpeluang untuk menembusi Eropah.
Keadaan ini memandangkan pembeli dalam perniagaan ke perniagaan (B2B) di Eropah dilaporkan bersedia untuk menggugurkan pembekal yang tidak melaksanakan amalan kemampanan manakala syarikat yang mematuhi piawaian ESG yang dibuktikan, mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat kontrak perniagaan.
Hodess berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini ketika ditanya sama ada syarikat Malaysia yang mengamalkan ESG lebih mudah menembusi pasaran EU selepas Malaysia dan EU memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA).
“Jika MEUFTA dimeterai, ini akan menjadi kejayaan yang membanggakan mereka yang terlibat,” katanya.
GRI adalah organisasi antarabangsa yang membangunkan piawaian pelaporan kemampanan.
Hodess berkata walaupun sukar untuk menilai implikasinya terhadap perniagaan tanpa mengetahui butiran perjanjian perdagangan antara Malaysia dan EU, terdapat penanda aras global yang diiktiraf bagi pelaporan kemampanan.
"Tidak dapat dipastikan kesannya tanpa mengetahui kandungan perjanjian perdagangan itu. Bagaimanapun jelas bahawa terdapat piawaian emas global bagi pelaporan kemampanan, iaitu gabungan antara piawaian GRI dan piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB)," katanya.
Beliau berkata syarikat Malaysia boleh menunjukkan keselarasan itu melalui Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF) dan Piawaian GRI, sekali gus memperkukuh pendedahan kemampanan dan meningkatkan daya saing mereka di luar negara.
Selain peluang berkaitan perdagangan, Hodess berkata perniagaan merentas ASEAN terus mengutamakan kemampanan walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.
"Keadaan ini memandangkan mereka sedar bahawa mengintegrasikan kemampanan dalam strategi korporat memberikan kelebihan daya saing dan memperkukuh daya tahan dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
“Kaedah melaksanakannya adalah dengan menyertakan kemampanan dalam strategi supaya ini menjadi sebahagian daripada tawaran pasaran syarikat dan meletakkan syarikat ke hadapan berbanding pesaingnya berikutan ia memfokuskan bagaimana untuk menjadi mampan,” katanya.
Beliau berkata kemampanan bukan sahaja merangkumi peralihan tenaga, sebaliknya isu yang lebih luas termasuk impak kecerdasan buatan terhadap tenaga kerja, penciptaan pekerjaan baharu, penyesuaian kepada persekitaran bandar yang berubah-ubah serta sumbangan keseluruhan syarikat kepada pembangunan mampan.
Menerapkan kemampanan dalam strategi perniagaan akan terus menjadi faktor kritikal untuk mengekalkan kelebihan strategik apabila syarikat berdepan cabaran dan peluang pada masa hadapan, kata Hodess.
Bagaimanapun, beliau menolak kebimbangan bahawa syarikat mungkin mengurangkan inisiatif ESG berikutan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik memandangkan kebanyakan perniagaan masih menumpukan kepada kelangsungan dan pertumbuhan jangka panjang.
"Saya berpendapat syarikat tidak akan menghentikan usaha itu berikutan kebanyakannya berfikir dalam jangka panjang bagaimana untuk bertahan dan perkara itu telah menjadi sebahagian daripada pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan," katanya
-- BERNAMA