DUNIA

Trump Batalkan Serangan Terhadap Iran, Dakwa Perjanjian Hampir Dimuktamadkan

12/06/2026 10:38 AM

WASHINGTON, 12 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau telah membatalkan serangan yang dirancang terhadap Iran, sambil memberi bayangan bahawa satu perjanjian dengan kepimpinan tertinggi Tehran mungkin dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan hakikat bahawa perbincangan dengan Republik Islam Iran telah dibawa ke peringkat tertinggi kepimpinan Iran dan diluluskan, saya sebagai Presiden Amerika Syarikat telah membatalkan serangan dan pengeboman yang dijadualkan terhadap Iran pada petang ini.

“Perbincangan dan perkara-perkara terakhir telah diluluskan oleh semua pihak yang terlibat, termasuk Amerika Syarikat, Israel, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Turkiye, Pakistan, Bahrain, Kuwait, Jordan, Mesir dan lain-lain, dari segi konsep serta perincian,” kata presiden AS itu menerusi platform Truth Social miliknya.

Trump berkata sekatan tentera lautnya di Selat Hormuz akan terus dikuatkuasakan sehingga perjanjian itu dimeterai, sambil menambah bahawa “masa dan tempat majlis menandatangani” akan diumumkan “dalam masa terdekat.”

Dalam kenyataan susulan kepada akhbar New York Post menerusi telefon, Trump memberi bayangan bahawa perjanjian untuk memulakan rundingan nuklear dengan Tehran “hampir sepenuhnya dimuktamadkan.”

Pertukaran serangan antara AS dan Iran berterusan untuk hari kedua berturut-turut pada Rabu, dengan Trump memberi amaran pada Khamis bahawa Washington akan melancarkan serangan tambahan melainkan Tehran segera menerima satu perjanjian damai.

“Amerika Syarikat akan melancarkan serangan sangat kuat terhadap Iran (dengan tentera laut, tentera udara, radar, sistem pertahanan antipesawat serta hampir keseluruhan keupayaan pertahanannya telah musnah) malam ini.

“Pada satu ketika dalam masa terdekat, kami akan mengambil alih Pulau Kharg dan lokasi infrastruktur minyak lain serta menguasai sepenuhnya pasaran minyak dan gas mereka, sama seperti yang telah kami lakukan terhadap Venezuela, yang memberikan hasil amat baik kepada Venezuela dan Amerika Syarikat,” kata Trump sebelum ini di platform Truth.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567593