AM

TMM2026 Di Landasan Kukuh, 17.5 Juta Pelawat Direkodkan Setakat Mei - Chiew

10/06/2026 04:55 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Ketibaan pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) berada di landasan yang kukuh dengan 17.5 juta pelancong direkodkan setakat Mei lepas, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man.

Beliau berkata dalam mencapai sasaran 47 juta pelawat yang ditetapkan bagi kempen itu, pihaknya melalui Tourism Malaysia mengatur pelbagai program promosi di dalam serta luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Kita juga terus memperhebat promosi melalui kerjasama dengan pemegang taruh tempatan seperti ejen pelancongan, pemimpin pendapat utama (KOL) serta media untuk menarik mereka (pelawat) datang ke negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Visit Malaysia 2026 di sini hari ini. 

Ditanya mengenai cabaran krisis bekalan global serta kenaikan kos pengangkutan terhadap kempen TMM2026, Chiew berkata beberapa inisiatif telah dibincangkan bersama syarikat penerbangan dan agensi pelancongan untuk mengatasi perkara tersebut.

"Kami sedang berusaha keras di dalam dan luar negara bagi memastikan momentum kedatangan pelancong ke negara ini dapat diteruskan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Chiew menggariskan keperluan untuk memperhebat promosi lebih banyak destinasi dan pengalaman yang unik di negara ini.

"Jika sektor ini berjaya dan kemasukan pelancong meningkat, ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara, terutama kepada para peniaga, pengusaha hotel, penjaja, restoran, pengangkutan dan semua kedai dan pusat beli-belah. Semua lapisan rakyat akan merasai manfaatnya," katanya.

Sementara itu, Chiew hari ini melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ’V 1 MY’ hingga ’V 9999 MY’ sempena TMM2026.

Beliau berkata penjualan siri nombor pendaftaran merupakan inisiatif bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjana peruntukan tambahan untuk kempen itu.

"Siri NPI khas ini berpotensi menarik minat mereka yang menghargai nombor bernilai tinggi dan menggalakkan rakyat Malaysia menyokong industri pelancongan negara melalui pembelian NPI," katanya.

JPJ akan membuka bidaan bagi siri NPI tersebut pada 13 hingga 17 Jun ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567005