ISTANBUL, 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Rabu menyatakan beliau “amat bimbang” mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara baharu ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap laporan mengenai helikopter Apache Tentera Darat AS yang ditembak jatuh ketika meronda di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam temu bual bersama ABC News, Albanese menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kemanusiaan dan ekonomi akibat konflik yang semakin memuncak itu, sambil memberi amaran bahawa ketegangan berterusan boleh memberi kesan global.
“Kami amat bimbang terhadap kesan kemanusiaan yang pastinya berlaku akibat peperangan, selain impak ekonomi. Keadaan ini memberi kesan besar kepada ekonomi global dan dijangka bertambah buruk, jika tidak dibendung,” katanya menurut transkrip yang dikeluarkan pejabatnya.
Albanese mengulangi gesaan kerajaannya supaya semua pihak menahan diri dan mengurangkan permusuhan, sambil berkata Canberra mahu melihat “pengurangan ketegangan” di rantau itu.
Beliau berkata walaupun Australia terletak jauh dari Asia Barat, kesan konflik itu dirasai di seluruh dunia menerusi gangguan ekonomi dan peningkatan kos.
Merujuk tindakan ketenteraan terbaharu AS, beliau berkata Presiden Donald Trump bertindak balas terhadap laporan kemusnahan helikopter Apache Tentera Darat AS akibat tembakan Iran. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keamanan berkekalan kekal menjadi keutamaan.
“Kami mahu melihat keamanan berkekalan di rantau itu,” katanya sambil menambah bahawa konflik itu bukan sahaja menyebabkan penderitaan di Asia Barat, malah turut menyumbang kepada peningkatan inflasi global dan ketidaktentuan ekonomi.
Kenyataan beliau dibuat selepas AS melancarkan serangan ke atas selatan Iran.
Perintah Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa pesawat pejuang AS menyerang sistem pertahanan udara dan tapak radar Iran berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap insiden helikopter Apache Tentera Darat AS ditembak jatuh.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada awal Rabu memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan balas terhadap 21 sasaran ketenteraan Amerika di pangkalan udara dan tentera laut AS di seluruh rantau itu.
-- BERNAMA-ANADOLU