DUNIA

Krisis Tenaga Didorong Konflik Jejas Ekonomi, Pelancongan Thailand

10/06/2026 01:38 PM

Daripada Kenny Teng & Tuwaedaniya Meringing

BANGKOK, 10 Jun (Bernama) --  Krisis tenaga selama 100 hari di Thailand, yang dicetuskan oleh konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), telah mendedahkan pergantungan negara itu pada tenaga import dan menekankan keperluan untuk pembaharuan struktur bagi meningkatkan keselamatan tenaga.

Krisis yang mencecah hari ke-100 pada 7 Jun, dengan ketidaktentuan dalam pasaran minyak global dan risiko penghantaran menerusi Selat Hormuz terus memberikan tekanan pada harga bahan api dan elektrik di seluruh Asia Tenggara.

Profesor Madya Dr Chaiwat Meesanthan, Pengarah Institut Kajian Asia Timur di Universiti Thammasat, berkata kenaikan harga minyak mentah dan peningkatan risiko ke atas pengangkutan maritim menjejaskan secara langsung harga bahan api dan elektrik di Thailand.

"Krisis itu telah menunjukkan bahawa keselamatan tenaga bukan lagi sekadar mengekalkan rizab yang mencukupi, tetapi juga mengenai memastikan ekonomi dapat menahan kos tenaga yang tinggi dalam tempoh berpanjangan," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Sejak konflik meletus pada 28 Feb, pasaran minyak dilanda kebimbangan berhubung gangguan bekalan dan risiko penghantaran, menyebabkan kos tenaga lebih tinggi merentasi banyak ekonomi yang bergantung pada import, termasuk di Asia Tenggara.

Chaiwat menganggarkan lebih separuh kenaikan harga bahan api runcit Thailand baru-baru ini berpunca daripada konflik, terutamanya risiko geopolitik di sekitar Selat Hormuz.

Beliau berkata inventori minyak sedia ada Thailand dan bekalan yang dikontrak dalam transit boleh mengekalkan penggunaan selama beberapa minggu atau bahkan beberapa bulan sekiranya berlaku gangguan bekalan yang teruk, walaupun langkah kecemasan diperlukan untuk mengutamakan sektor kritikal dan menangani permintaan.

“Krisis itu juga telah mempercepat usaha untuk mempelbagaikan import minyak mentah dari Asia Barat, dengan Thailand meningkatkan pembelian dari Afrika, Amerika dan pembekal serantau," katanya.

Bagaimanapun, Chaiwat menyatakan negara masih bergantung secara struktur pada minyak mentah Asia Barat disebabkan oleh pengaturan bekalan dan konfigurasi penapisan yang telah lama wujud.

Mengenai subsidi diesel, beliau berkata kerajaan masih mempunyai ruang untuk menyediakan sokongan jangka pendek menerusi Dana Bahan Api Minyak dan langkah cukai namun campur tangan yang berlanjutan akan memberikan tekanan terhadap kewangan awam.

“Peralihan tenaga bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk keselamatan negara dan daya tahan ekonomi," katanya sambil menambah bantuan yang disasarkan untuk kumpulan rentan dan sektor penting akan lebih mampan daripada subsidi meluas.

Sementara itu, Romlee Rakniyom, 56, pengendali van pelancong yang berpangkalan di Wilayah Krabi berkata konflik di Asia Barat telah menjejaskan pelancongan di Krabi, destinasi popular di selatan Thailand.

"Pelancong dari Asia Barat dan Scandinavia hampir hilang, dengan ketibaan menurun hampir 100 peratus kerana banyak penerbangan sewa telah dibatalkan.

“Tambang penerbangan juga melonjak disebabkan harga bahan api yang lebih tinggi," katanya.

Romlee berkata pelancong India kekal dalam kalangan beberapa kumpulan yang masih melawat wilayah itu dalam jumlah ketara namun secara keseluruhan ketibaan pelancong asing telah menurun kira-kira 70 peratus.

Beliau meluahkan kebimbangan konflik berpanjangan dan harga bahan api tinggi yang berterusan boleh melemahkan lagi sektor pelancongan yang merupakan pemacu ekonomi utama Krabi dan destinasi  utama lain di Thailand.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566902