ISTANBUL, 9 Jun (Bernama-Anadolu) -- Dua pegawai kanan tentera Iran terbunuh dalam serangan Israel ke atas Iran pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik badan penyiaran rasmi Iran, IRIB.
Menurut laporan itu, upacara pengebumian Bahman Hosseini dan Alireza Abiri akan diadakan lewat Selasa, sambil menambah bahawa kedua-duanya terbunuh ketika menjalankan misi “mempertahankan ruang udara negara.”
Ketegangan memuncak pada Ahad apabila Israel mengebom ibu negara Lubnan, Beirut walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke utara Israel sebagai tindak balas, dengan Israel kemudian membalas menerusi beberapa gelombang serangan udara terhadap Iran.
Ketegangan berterusan hingga Isnin, namun tentera Iran kemudian memaklumkan bahawa ia menghentikan serangan terhadap Israel sambil memberi amaran akan melancarkan tindak balas “yang dahsyat” sekiranya serangan Israel ke atas Lubnan diteruskan.
Rantau itu terus berada dalam keadaan tegang sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan tindak balas Iran terhadap Israel serta negara serantau lain yang menempatkan aset AS.
Gencatan senjata sementara dicapai pada 8 April, namun rundingan selepas itu terhenti susulan pertikaian mengenai pelaksanaannya serta perkembangan serantau seterusnya.
-- BERNAMA-ANADOLU