KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2,760 unit rokok elektronik dan 1,200 kartrij cecair vape pelbagai perisa bernilai RM396,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand menerusi laluan tidak sah di Pengkalan Kubor, Tumpat, minggu lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu antara kejayaan utama Ops Taring Wawasan Kelantan yang dilaksanakan dari 1 hingga 8 Jun bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata dalam serbuan pada 1.30 tengah hari, 4 Jun lepas di sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah besar rokok elektronik jenama Salt Hub dan kartrij cecair vape dipercayai untuk tujuan pengedaran serta penyeludupan ke Thailand.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan semua barang kes diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku bekerja sebagai penjaga stor dan terlibat dalam urusan membawa masuk serta keluar rokok elektronik ke Thailand melalui laluan tidak sah di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.
Beliau berkata bekalan berkenaan dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dihantar melalui perkhidmatan kurier untuk diedarkan semula bagi tujuan penyeludupan rentas sempadan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata PGA turut menumpaskan aktiviti penjualan air ketum di Pasir Mas dengan penahanan dua lelaki tempatan serta rampasan 312 bungkusan air ketum, sebuah kereta dan sebuah motosikal bernilai keseluruhan RM23,220.
Selain itu, PGA merampas 13 ketulan mampat disyaki ganja seberat kira-kira 11 kilogram bernilai RM33,000 yang ditemukan ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Lubok Stol, Pasir Mas.
Di Terengganu pula, operasi Ops Bersepadu Khazanah berjaya membongkar aktiviti pemprosesan kayu tidak bercukai di sebuah kilang di Kampung Dendang, Jerangau, Dungun dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.27 juta.
-- BERNAMA