JENAYAH & MAHKAMAH

Kawalan Ketat Sungai Golok: Kawasan Parkir Rantau Panjang Kini Lengang

12/06/2026 11:15 AM

KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Kawasan parkir di sekitar sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas yang dahulunya sentiasa padat dengan lambakan kereta warga tempatan untuk menyeberang ke Thailand, kini dilaporkan lengang. 

Perubahan drastik itu membuktikan keberkesanan tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan yang memperketat kawalan dan mengisytiharkan penutupan sempadan di sepanjang Sungai Golok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata situasi itu dikesan menerusi pemantauan dan tinjauan harian yang dilakukan oleh Cawangan Khas di kawasan tumpuan berkenaan.

"Kalau dulu kereta penuh di kawasan parkir di sempadan di Rantau Panjang dan sebagainya. Kita buat tinjauan secara harian sekarang, (lambakan kereta) sudah tiada. Alhamdulillah," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata keadaan itu juga selari dengan penurunan mendadak kadar kemasukan rakyat Malaysia secara tidak sah ke negara jiran melalui pangkalan haram.

Mohd Yusoff berkata sejak sempadan itu ditutup secara rasmi, data menunjukkan trend penurunan yang amat ketara melibatkan pergerakan keluar masuk warga tempatan.

"Daripada segi kemasukan rakyat Malaysia secara haram atau tidak sah iamenunjukkan penurunan kira-kira 90 peratus," katanya sambil menambah langkah penguatkuasaan di sungai sepanjang 136 kilometer itu turut melumpuhkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang lain. 

"Pihak polis mencatatkan penurunan ketara melibatkan kes penyeludupan barangan kontraband serta rampasan dadah," katanya.

Mengulas mengenai reaksi masyarakat setempat, Mohd Yusoff berkata pada peringkat awal penutupan sempadan, pihak polis menerima banyak komen negatif dan ketidakpuasan hati daripada penduduk.

Bagaimanapun, kini rata-rata penduduk menerima baik langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

"Hasil tinjauan bersemuka yang dilakukan, didapati 85 peratus penduduk menyokong tindakan ini dan hanya 15 peratus sahaja yang tidak menyokong. Kita memilih tinjauan bersemuka dan bukannya secara dalam talian bagi memastikan penilaian ini melibatkan masyarakat di sempadan itu sendiri, bukannya orang luar," katanya.

Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand membabitkan jarak kira-kira 163 kilometer (km), dengan 91 km daripadanya merangkumi kawasan perairan Sungai Golok. Pemantauan ini merentasi beberapa daerah utama termasuk Tumpat, Rantau Panjang (Pasir Mas), Tanah Merah, dan Jeli.

Sebelum ini, larangan rentas sempadan secara haram melalui pangkalan atau jeti haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand (terutama di kawasan Sungai Golok) berkuat kuasa sejak 1 Disember 2024. 

-- BERNAMA

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567619