AM

Panik Berdepan Situasi Cemas Faktor Utama Sesat, Hilang Dalam Hutan

06/06/2026 09:22 AM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Panik ketika berdepan situasi kecemasan dalam hutan antara faktor yang boleh menyebabkan seseorang pendaki atau pencinta alam kehilangan arah, sekali gus mengalami kesukaran untuk mencari jalan keluar.

Bekas Jurulatih Kursus Ikhtiar Hidup Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta Abdul Hamid Awang Ahmad, 62, berkata keadaan itu lazimnya mendorong seseorang untuk terus bergerak tanpa arah yang jelas, sekali gus meningkatkan risiko mereka tersasar lebih jauh dari laluan atau lokasi asal.

“Apabila seseorang sedar dia sesat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bertenang. Jangan terus berlari, jangan terus mencari jalan keluar secara tergesa-gesa kerana ramai yang sesat atau hilang disebabkan mereka panik dan terus bergerak tanpa perancangan.

“Jika terpaksa juga bergerak untuk mencari laluan keluar tinggalkan petunjuk sepanjang perjalanan semampu yang boleh. Calarkan sedikit pada batang pokok, ikat kain berwarna terang atau tinggalkan catatan ringkas mengenai arah pergerakan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Berjaya Baru di sini hari ini.

Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam ilmu ikhtiar hidup berkata setiap pendaki dan pencinta alam seharusnya memiliki sekurang-kurangnya ilmu asas survival kerana kemahiran itu mampu membantu mereka membuat keputusan yang tepat sekiranya berdepan situasi di luar jangka.

Abdul Hamid berkata walaupun seseorang itu biasa memasuki kawasan hutan atau pernah melalui laluan sama berkali-kali, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pengalaman kerana faktor cuaca, keadaan muka bumi dan kecuaian manusia boleh menyebabkan berlaku keadaan di luar jangka.

“Sesat bukan sesuatu yang dirancang, ia boleh berlaku disebabkan kesilapan manusia atau terlalu yakin diri, ada yang masuk hutan dengan anggapan mereka sudah mengenali setiap laluan hingga mengabaikan keperluan asas seperti kompas, pemetik api, parang dan jam. Itu antara kesilapan paling besar,” katanya.

Dalam situasi tersesat, beliau menasihatkan pendaki supaya mematuhi beberapa prinsip asas ikhtiar hidup termasuk menyimpan tenaga, mengelakkan pergerakan pada waktu malam dan mencari lokasi yang sesuai untuk bermalam sebelum hari gelap.

“Apabila masuk lewat petang, sebaik-baiknya hentikan pergerakan dan cari lokasi yang sesuai untuk membina tempat perlindungan sementara. 

“Elakkan daripada terus bergerak dalam keadaan gelap kerana risiko berdepan dengan haiwan liar seperti harimau belang dan beruang adalah lebih tinggi memandangkan pemangsa berkenaan lazimnya aktif pada waktu malam,” katanya.

Anak jati kelahiran Kulim, Kedah itu berkata menghidupkan api merupakan antara keutamaan dalam situasi kecemasan kerana ia mampu memanaskan badan, menghalau haiwan liar dan pada masa sama menjadi penunjuk lokasi yang berkesan kepada pasukan penyelamat.

Selain api, pesara polis itu berkata pengetahuan mengenai sumber makanan dalam hutan juga penting bagi membantu seseorang meneruskan kelangsungan hidup sekiranya terputus bekalan makanan dalam tempoh yang panjang.

Abdul Hamid berkata walaupun hutan tropika di Malaysia kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan dan buah-buahan liar, tidak semuanya selamat untuk dimakan tanpa pengetahuan yang mencukupi.

Berkongsi petua yang sering diajarkan dalam kursus ikhtiar hidup, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menjamah buah atau tumbuhan yang tidak dikenali ketika berada dalam situasi kecemasan.

“Petuanya ialah menghidu buah tersebut terlebih dahulu. Jika mengeluarkan bau yang busuk atau mencurigakan, sebaik-baiknya tinggalkan sahaja kerana ia berkemungkinan tidak selamat untuk dimakan atau mengandungi bahan yang boleh memudaratkan,” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pendaki juga tidak digalakkan melakukan ekspedisi secara bersendirian kerana risiko yang dihadapi jauh lebih tinggi berbanding bergerak dalam kumpulan, terutama apabila berlaku malapetaka mereka tidak berpeluang mendapatkan bantuan segera tanpa pertolongan rakan.

Beliau berkata pendaki juga perlu memahami adab ketika berada dalam hutan dengan sentiasa menghormati alam sekitar, menjaga kebersihan serta mengelakkan tindakan merosakkan tumbuh-tumbuhan atau meninggalkan sampah.

Katanya setiap kumpulan pendaki juga wajar memaklumkan lokasi dan tempoh ekspedisi kepada ahli keluarga serta membuat laporan kepada balai polis berhampiran sebelum memasuki kawasan hutan yang berisiko.

“Ini juga antara perkara yang sering saya tekankan kepada pendaki dan pencinta alam. Bukan sahaja makluman kepada pihak berkuasa, malah jika terdapat perkampungan Orang Asli berhampiran kawasan hutan atau gunung yang ingin didaki, tidak salah menyantuni dan memaklumkan kehadiran kita kepada mereka.

“Mereka mempunyai pengetahuan yang sangat luas mengenai selok-belok hutan, laluan tradisional serta keadaan muka bumi di kawasan sekitar. Dalam situasi kecemasan, maklumat yang mereka miliki boleh menjadi antara petunjuk awal yang membantu mempercepatkan usaha pencarian,” katanya.

Justeru, beliau berharap masyarakat yang meminati aktiviti rekreasi dan pendakian tidak memandang ringan aspek keselamatan serta sentiasa menambah ilmu berkaitan ikhtiar hidup sebelum memasuki kawasan hutan kerana minat sahaja tidak mencukupi.

“Kita perlu ada ilmu, persediaan dan disiplin kerana hutan memang indah untuk diteroka tetapi ia juga menuntut rasa hormat dan kewaspadaan. Kalau kita masuk dengan ilmu yang betul, peluang untuk mengelakkan musibah dan menyelamatkan diri ketika kecemasan lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565236