DUNIA

Rom Siasat Menteri Israel Atas Layanan Terhadap Aktivis Flotila Ke Gaza

09/06/2026 01:40 PM

 Rom, 9 Jun (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa Itali melancarkan siasatan ke atas Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir berhubung layanan terhadap aktivis flotila bantuan ke Gaza pada pertengahan Mei, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pendakwa raya di Rom mengumumkan lewat Isnin, Ben-Gvir kini dalam siasatan yang tertumpu pada dakwaan penyeksaan dan pemenjaraan menyalahi undang-undang terhadap aktivis yang menyertai flotila berkenaan. 

Pihak berkuasa Israel telah diminta untuk bekerjasama.

Pada pertengahan Mei, Israel memintas flotila lebih 50 bot menuju ke Semenanjung Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

Lebih 400 aktivis, termasuk warga Itali, cuba memecah sekatan tentera laut terhadap Gaza.

Video dimuat naik Ben-Gvir yang dilaporkan menunjukkan aktivis Gaza yang ditahan diperlakukan dengan cara yang memalukan telah mencetuskan kemarahan antarabangsa.

"Tanah kasut but (gelaran untuk Itali) telah bertukar menjadi tanah selipar (flip-flop)," kata Ben-Gvir di platform media sosial X sebagai respons terhadap berita daripada Itali itu.

Pendakwa raya antikeganasan Perancis juga telah membuka siasatan berkaitan penyeksaan yang disyaki dan jenayah perang berhubung layanan kontroversial Israel terhadap aktivis berkenaan.

Israel menafikan dakwaan keganasan fizikal dan seksual.

Paris turut mengenakan larangan kemasukan ke atas Ben-Gvir.

Menteri Luar Israel Gideon Sa'ar dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengecam kelakuan Ben-Gvir.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566420