JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan Lelaki Termasuk Enam Warga Asing Didakwa Miliki Ketamin, MDMA

26/05/2026 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Lapan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di sebuah hotel, minggu lepas.

Tertuduh terdiri daripada dua warga tempatan Ivan Wong Yi Xian, 24, dan Chong King Jun, 36, serta enam warga asing Jensen Soh Kah Yi, 34, Yeo Wei Seng, 37, Lam Hoi Leung, 30, Hendry Gunawan, 28, Tang Waei, 41, dan Tran Quang Ha, 26.

Kesemua mereka didakwa dengan niat bersama memiliki ketamin seberat 1.5 gram di sebuah bilik hotel terkemuka di Brickfields pada 4 pagi, 24 Mei.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua lelaki itu dengan niat bersama memiliki dadah berbahaya MDMA seberat 0.7 gram pada tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) ADB, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham menawarkan jaminan RM7,000 kepada tertuduh warga tempatan, manakala tertuduh warga asing tidak dicadangkan jaminan. 

Peguam Roshvinder Singh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Wong dan Chong. memohon jaminan rendah dengan alasan mereka masih bujang dan bekerja sebagai pekerja kedai kecantikan dan jurujual. 

Peguam Yong Jei Beng yang mewakili enam tertuduh warga asing pula memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan, dengan alasan mereka datang ke negara ini sebagai pelancong.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan Wong dan Chong diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala enam tertuduh lain tidak dibenarkan jaminan.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan kes.

Semalam, media melaporkan seramai 51 lelaki ditahan dalam empat siri serbuan yang membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah dan “pesta gay”, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561835