KOTA MARUDU, 7 Jun (Bernama) --Sebanyak 650 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di sini masih menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon sejak 2010 bagi meneruskan sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah Datuk James Ratib berkata ini berikutan projek pembinaan SMK Langkon telah terbengkalai selama 16 tahun.
"Keadaan yang berlarutan lebih satu dekad itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kemudahan dan keselesaan pembelajaran malah turut menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti kepada para pelajar," katanya dalam kenyataan disini hari ini.
James berkata beliau telah melawat tapak projek sekolah itu dan perkara berkenaan amat memerlukan perhatian serta tindakan segera semua pihak berkaitan kerana pendidikan adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Beliau berkata anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri itu.
Katanya perkara itu akan dibawa terus kepada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan penyelesaian segera serta tindakan susulan yang sewajarnya demi memastikan projek tersebut dapat diteruskan dan disiapkan segera.
"Kita berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diperkukuh bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap projek berkenaan demi kepentingan pelajar, guru dan komuniti setempat," katanya.
-- BERNAMA