SUNGAI PETANI, 7 Jun (Bernama) -- Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam nahas di Pinang Tunggal di sini hari ini, dipercayai baharu dibeli oleh seorang daripada mangsa dan diterima pada hari kejadian.
Ibrahim Ghazali, 39, yang juga ahli keluarga mangsa berkata kenderaan itu milik adik iparnya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, namun, ketika kejadian ia dipandu oleh seorang lagi adik iparnya, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27.
Ibrahim berkata ketika kejadian, kedua-dua adik iparnya bersama empat lagi termasuk anaknya dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa mentuanya di Merbok, dekat sini.
“Tengah hari tadi mereka singgah di rumah saya di Bertam Putra, Pulau Pinang, untuk mengambil anak lelaki saya, Iskandar Arfan, 7, yang turut terkorban dalam kemalangan itu.
“Mereka teruja menaiki kereta baharu milik adik ipar saya, Ahmad Fahim, yang turut berada dalam kenderaan itu. Saya dimaklumkan mereka dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa mentua di Merbok,” katanya ketika ditemui di sini.
Ibrahim berkata anaknya yang terkorban dalam kemalangan itu amat teruja untuk menaiki kenderaan baharu berkenaan.
“Semasa mereka sampai di rumah saya untuk mengambil Iskandar Arfan, anak saya sedang makan, tetapi terus membasuh tangan dan naik ke dalam kenderaan itu,” katanya.
Dalam kemalangan kira-kira 3.45 petang itu, SUV terbabit yang dipercayai dipandu Ahmad Shafiq bertembung dengan sebuah lori, menyebabkan enam sekeluarga termasuk seorang bayi meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah.
Selain Ahmad Shafiq, Ahmad Fahim dan Iskandar Arfan, mangsa lain yang maut ialah Nora Mhd Husin, 55, ibu kepada Ahmad Shafiq dan Ahmad Fahim, serta Jamaliah Sannusi, 27.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah bayi berusia enam bulan yang identiti serta jantinanya belum disahkan.
Sementara itu, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular, Proton X50 itu dilihat memasuki laluan bertentangan ketika melalui jalan lurus di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan lori yang membawa muatan tanah.
-- BERNAMA