Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Ramai pencari kerja memiliki kelayakan yang diperlukan, namun masih berdepan dengan kesukaran mendapat pekerjaan kerana gagal menonjolkan potensi sebenar menerusi resume atau tidak mempunyai hala tuju kerjaya yang jelas.
Bagi membantu mengatasi cabaran itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan pelbagai perkhidmatan khidmat nasihat kerjaya termasuk semakan resume, ujian minat dan personaliti kerjaya serta sesi perkongsian industri menerusi Karnival Kerjaya TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersempena dengan Hari TVET Negara 2026.
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Shahina Noor Shah Nazim berkata karnival kerjaya itu menampilkan pakar pengambilan pekerja dan wakil industri bagi membantu pencari kerja menambah baik resume serta mendapat gambaran lebih jelas tentang keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Beliau berkata sesi perkongsian industri yang melibatkan sektor pembinaan, hospitaliti dan perkhidmatan perniagaan membolehkan pencari kerja mendapatkan pandangan terus daripada pemain industri.
“Langkah ini membantu mereka mengetahui mengenai kemahiran dan pensijilan yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehpasaran,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Shahina Noor berkata sebanyak 2,900 kekosongan jawatan daripada 28 majikan ditawarkan sepanjang tiga hari program itu menerusi platform MyFutureJobs, merangkumi pelbagai peringkat termasuk profesional dan teknikal.
Sementara itu, pakar pemerolehan bakat Mia Goh, yang menyediakan khidmat nasihat industri di sini berkata ramai pencari kerja masih memerlukan bimbingan dalam memahami kehendak majikan dan trend pasaran pekerjaan semasa.
Beliau berkata ramai pencari kerja masih kurang jelas tentang hala tuju kerjaya mereka, sekali gus memerlukan bimbingan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan industri, khususnya dalam era perubahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Pasaran kerja semasa menunjukkan cabaran berbeza mengikut bidang. Sesetengah sektor juga semakin mengecil peluang pekerjaan akibat perubahan struktur industri, justeru pencari kerja perlu lebih memahami kehendak industri dan kemahiran yang diperlukan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” katanya.
Lepasan kejuruteraan awam Nurul Najihah Rahimi, 26, berkata khidmat yang diterima di sini membantunya memahami kekuatan diri dan merancang hala tuju kerjaya yang lebih sesuai.
“Saya dapat tahu banyak perkara yang perlu dibaiki dalam resume dan saya juga mendapat gambaran lebih jelas mengenai kerjaya yang patut saya fokuskan.
“Sebelum ini, saya fikir bidang saya hanya tertumpu kepada kerja-kerja pembinaan, tetapi selepas sesi itu saya sedar kekuatan saya lebih kepada berurusan dengan orang ramai dan mungkin lebih sesuai dalam bidang perundingan,” katanya.
Penganalisis pasaran minyak dan gas Ahmad Farid Soratman pula berkata ujian minat kerjaya dan personaliti yang disediakan membantu peserta mengenal pasti potensi diri serta kemahiran yang perlu dikuasai bagi menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
“Dalam keadaan pasaran pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi AI, masih ramai tidak memanfaatkan sepenuhnya pelbagai alat dan sumber yang tersedia untuk merancang kerjaya mereka.
“Kadangkala, apabila terlalu banyak maklumat, seseorang itu menjadi keliru. Program seperti ini membantu peserta mengenal pasti diri mereka dengan lebih baik, memahami kemahiran yang perlu dibangunkan dan memberikan fokus kepada perkara yang ingin dicapai dalam kerjaya mereka,” katanya.
Hari TVET Negara disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan pendidikan kemahiran sebagai pemacu pembangunan modal insan, di samping menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi serta kebolehpasaran graduan.
-- BERNAMA