SEREMBAN, 6 Jun (Bernama) -- Pemasyhuran seorang lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika kedudukan Yang Dipertuan Besar sedia ada masih menjadi pertikaian, menimbulkan persoalan mengenai kesahihan proses berkenaan dari sudut undang-undang dan adat.
Pakar Undang-Undang Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berpandangan status quo sewajarnya dikekalkan selagi Yang Dipertuan Besar belum diturunkan daripada takhta mengikut proses yang sah dan muktamad sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) serta Adat Perpatih.
Beliau berkata sebarang tindakan berkaitan penurunan takhta atau pelantikan Raja Pemerintah perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan adat yang menjadi asas sistem pemerintahan Negeri Sembilan bagi mengelak timbul pertikaian mengenai kesahihan proses tersebut
“Krisis menjadi lebih buruk apabila berlakunya pertabalan Yang Dipertuan Besar baharu, kita perlu ingat dalam proses ini ada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, menyebut cara dan bentuknya mengikut Adat Perpatih.
“Sebagai orang adat, proses itu perlu dilaksanakan secara tertib," katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, selagi Yang Dipertuan Besar sedia ada belum diturunkan daripada takhta mengikut proses yang sah, kedudukan semasa perlu dikekalkan, lebih-lebih lagi apabila terdapat permohonan yang telah difailkan oleh Undang Yang Empat di mahkamah.
“Dengan adanya prosiding yang sedang berjalan, semua pihak perlu mengekalkan status quo sehingga keputusan mahkamah diperoleh,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan kemelut institusi beraja dan adat yang berlaku ketika ini berpunca daripada kegagalan sesetengah pihak mematuhi peruntukan dalam UUTKNS.
Beliau berkata semua pihak yang terlibat perlu kembali merujuk kepada peruntukan undang-undang berkenaan bagi meredakan krisis selain memastikan kestabilan institusi diraja, adat dan pentadbiran negeri terus dipelihara.
Sekiranya timbul sebarang pertikaian berkaitan tafsiran mana-mana peruntukan dalam UUTKNS, katanya perkara itu boleh dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan mengikut mekanisme yang telah diperuntukkan.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, institusi Raja Pemerintah akan terus kekal berwibawa sekiranya semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dalam menangani sebarang pertikaian.
“Tiada pihak boleh memberikan tafsiran peribadi untuk mencabar keputusan yang telah dibuat di bawah Perkara 16(3), 10 dan 11 UUTKNS,” katanya.
Beliau berkata penghormatan terhadap prerogatif, kuasa dan bidang kuasa setiap pihak dalam komposisi Raja Pemerintah amat penting bagi memastikan institusi beraja terus dihormati serta diyakini rakyat.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata keunikan sistem beraja Negeri Sembilan yang memberi peranan tertentu kepada empat Undang dalam struktur pemerintahan negeri menuntut setiap pihak menghormati kerangka perlembagaan dan adat yang telah lama diamalkan.
Beliau berkata sebarang usaha mencari penyelesaian perlu mengambil kira kedua-dua aspek tersebut bagi memastikan kewibawaan institusi beraja terus terpelihara.
“Kaedah penyelesaian perlu diterapkan mengikut Perlembagaan Negeri dan juga Undang-Undang Adat. Oleh itu, saya berpendapat pendekatan terbaik ialah dengan adanya pihak yang berperanan sebagai fasilitator bagi membawa semua pihak berkepentingan berbincang dan mencari penyelesaian bersama,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan rundingan dan musyawarah penting bagi memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menjejaskan institusi beraja serta kepentingan rakyat.
Pemerhati melihat isu utama yang timbul ketika ini bukan sekadar mengenai pemasyhuran seorang lagi Raja Pemerintah, tetapi sama ada proses yang membawa kepada tindakan tersebut dilaksanakan mengikut kehendak UUTKNS dan Adat Perpatih.
Hal ini kerana dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan, kesahihan sesuatu keputusan berkaitan institusi beraja bukan hanya bergantung kepada pengumuman atau pemasyhuran semata-mata, sebaliknya turut tertakluk kepada prosedur serta mekanisme yang diperuntukkan oleh undang-undang dan adat negeri.
-- BERNAMA