KUANTAN, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abas Awang, atas pemergian bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata segala jasa, pengorbanan serta sumbangan Allahyarham kepada parti dan rakyat akan sentiasa dikenang.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga, semoga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan dipermudah segala urusan,” katanya.
Abas meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Allahyarham pernah menerajui Biro Pendidikan PKR kira-kira sedekad lepas dan masih aktif bersama PKR Pahang hingga ke akhir hayatnya.
-- BERNAMA