Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan secara mendatar dengan sedikit kecenderungan menurun minggu depan, di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan, terutamanya perkembangan di Asia Barat dan keadaan cuaca di beberapa rantau pengeluar getah utama.
Pakar industri Denis Low berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati di tengah-tengah konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang kini telah memasuki hari ke-96, tanpa tanda-tanda yang jelas mengenai gencatan senjata.
“Dunia kini sedang bergelut dengan ketidaktentuan dan harga minyak yang lebih tinggi, menyebabkan kos yang lebih tinggi kepada semua orang.
“Kami menyaksikan banyak perniagaan terjejas oleh kelembapan ekonomi, dan sikap tunggu dan lihat adalah sesuatu kelaziman.
“Kurangnya perniagaan dan kos yang lebih tinggi benar-benar membebankan semua orang,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga merujuk kepada keadaan cuaca luar biasa di beberapa rantau pengeluar getah utama, iaitu hujan lebat telah mengganggu aktiviti penorehan, mengekang pengeluaran dan menyumbang kepada keadaan bekalan yang terhad.
Sementara itu, ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand (TMD), menjangkakan hujan lebat merentasi 60 hingga 70 peratus kawasan di Thailand susulan monsun barat daya, selain mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya bersedia bagi menghadapi potensi banjir kilat dan arus deras.
Bagi Malaysia, beliau berkata ramalan cuaca turut memberi amaran mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
“Bagaimanapun, kami percaya bahawa ia hanya berlaku pada waktu yang singkat dan luar biasa serta tidak perlu dibimbangkan,” tambahnya.
Low juga berkata pergerakan mata wang kekal menjadi faktor utama yang mempengaruhi pasaran getah.
“Kadar tukaran mata wang kekal tidak menentu dan tidak dapat diramalkan serta akan terus memberi kesan ketara terhadap harga getah.
“Ia juga menimbulkan dilema kerana kadar pertukaran semasa cenderung lebih didorong oleh geopolitik berbanding ekonomi sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga berkata harga getah dijangka kekal kukuh, disokong oleh kekangan bekalan yang berterusan, disebabkan oleh hujan lebat dan El-Nino.
“Bagaimanapun, sentimen pasaran berkemungkinan kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, terutamanya yang melibatkan konflik Asia Barat dan dasar perdagangan AS,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peniaga akan memantau data gaji AS yang akan datang, perkembangan perjanjian damai Asia Barat, trend dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan kekuatan ringgit untuk petunjuk selanjutnya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 15 sen kepada 937 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik tiga sen kepada 762 sen.
-- BERNAMA