AM

Kredibiliti, Fakta Benteng Utama Media Tangani Polarisasi Masyarakat

06/06/2026 10:30 AM

KANGAR, 6 Jun (Bernama) -- Cabaran terbesar organisasi media dalam era digital hari ini bukan sekadar menyampaikan berita dengan pantas tetapi memastikan kredibiliti dan keseimbangan laporan terus diyakini masyarakat yang semakin terpolarisasi dan terdedah dengan pelbagai sumber maklumat. 

Menjadi lebih rumit bagi media arus perdana, khususnya yang beroperasi di negeri ditadbir pembangkang apabila laporan yang dibuat sering dinilai mengikut kecenderungan politik dan persepsi khalayak yang kadangkala terbentuk lebih awal. 

Pengarah Penyiaran Perlis Fathil Hidayat Gazali berpandangan penilaian masyarakat terhadap sesuatu laporan berita banyak dipengaruhi sumber maklumat pilihan mereka selain kecenderungan politik serta cara mereka mentafsir kandungan berita yang disajikan.

“Perkara ini memang satu cabaran sebab ada kalanya laporan yang disediakan berasaskan fakta dan kepentingan rakyat pun boleh dianggap berat sebelah sekiranya tidak selari dengan pandangan politik atau kecenderungan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Bagaimanapun, tegas beliau bagi media arus perdana khususnya media rasmi kerajaan, fakta dan kredibiliti menjadi sandaran dalam mendepani polarisasi masyarakat.

“Kita lazimnya memberi tumpuan kepada dasar, agenda nasional dan perkara berkepentingan rakyat yang disampaikan kerajaan semasa kerana ia melibatkan urusan pentadbiran negara.

“Apabila Perdana Menteri bercakap mengenai dasar kerajaan atau kepentingan rakyat, liputan diberikan atas kapasiti beliau sebagai ketua pentadbiran negara, walaupun ada pihak melihat perkara itu dari sudut politik semata-mata dan menganggap laporan yang dibuat tidak seimbang,” katanya. 

Fathil Hidayat berpandangan media di negara ini masih berpegang kepada etika kewartawanan dan prinsip profesonalisme meskipun sesebuah organisasi media mempunyai pendekatan editorial serta gaya pemberitaan tersendiri.

Mengulas situasi di Perlis, beliau berkata RTM negeri tetap memberikan liputan kepada program atau sidang media kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan rakyat. 

“Media tidak boleh mengamalkan self-censorship terhadap perkara yang mempunyai kepentingan awam kerana peranan media adalah menyampaikan maklumat kepada rakyat secara profesional,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Berita Harian Kedah/Perlis M Hifzuddin Ikhsan berkata media arus perdana sememangnya berdepan cabaran dalam memastikan laporan dilihat seimbang khususnya di negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan pusat.

Walau bagaimanapun, beliau berkata cabaran itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengenepikan etika kewartawanan dan prinsip kebebasan editorial.

"Memang menjadi tanggungjawab media dan wartawan untuk memastikan semua pihak diberi ruang termasuk kerajaan negeri, pembangkang, pakar dan rakyat biasa supaya laporan yang dihasilkan lebih menyeluruh dan seimbang, “ katanya.

Beliau berkata amalan semakan silang atau cross-check turut menjadi elemen penting terutama dalam menangani isu sensitif dan mengelakkan laporan disalah tafsir atau dianggap berat sebelah. 

Isu berkaitan kredibiliti media, etika kewartawanan dan cabaran mengekalkan keseimbangan pelaporan menjadi antara fokus sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, dengan majlis kemuncak dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565250