AM

PM Anwar Rasmi Sambutan Hari TVET Negara 2026

06/06/2026 08:09 AM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 hari ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. 

Anwar dijadual menyampaikan ucapan di Dataran Putrajaya pada 10 pagi sekali gus merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”.

Sambutan yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung itu mengetengahkan peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan pemacu daya saing ekonomi negara.

Acara yang berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga. 

Sepanjang tiga hari penganjuran, Hari TVET Negara 2026 menyajikan pelbagai program serta aktiviti menarik bagi memberi peluang kepada pengunjung menerokai enam hab utama, iaitu penglibatan institusi TVET dan industri, seminar TVET, karnival kerjaya TVET, usahawan TVET, cabaran TVET serta hiburan berinformasi TVET.

Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan negara, terus menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi dan kebolehpasaran graduan.

Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya diangkat menjadi agenda nasional, dengan kerajaan komited untuk memperkasakan bidang kemahiran melalui penawaran kursus yang seiring dengan keperluan teknologi semasa serta tuntutan pelaburan industri global.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565232