Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Bergelar ilmuwan negara, mungkin ramai menganggap Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zaini Ujang sebagai seorang pintar sedari kecil dan menghadam ilmu yang dipelajari dengan mudah.
Namun, jauh panggang dari api, kerana menurutnya, beliau jarang tergolong dalam kalangan pelajar terbaik ketika zaman pengajiannya.
"Saya bukan pelajar terbaik dalam kelas. Saya selalu ketinggalan. Ada rakan-rakan sekelas boleh faham dengan sepenuhnya ketika mengikuti kuliah profesor, tapi saya tak boleh. Biasanya saya perlu ulang kaji untuk faham. Jadi saya perlu membaca lebih daripada mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi temu mesra di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di sini, baru-baru ini.
Daripada keperluan mengejar ilmu itu, lahirlah minat membaca yang mendalam sehingga membentuk perjalanan hidupnya sebagai ahli akademik, pentadbir, penulis serta tokoh pemikir yang dikenali di dalam dan luar negara.
pic-2
Zaini, 61, yang juga Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), berkata minat membaca tidak semestinya perlu bermula dengan bahan ilmiah atau buku dengan topik berat, sebaliknya boleh dipupuk dengan bahan bacaan dalam perkara diminati.
"Mulakan dengan bidang yang kita suka. Contohnya novel tentang pengembaraan. Kemudian itu kita belajar baca bidang yang berkaitan dengan sesuatu bidang tersebut, misalnya teknologi perkapalan atau geografi. Mustahil kita boleh menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang yang kita tak suka," katanya.
Menurut Pro-Canselor Management and Science University itu, tabiat membaca yang konsisten membolehkan beliau mendalami bidang alam sekitar yang menjadi minat utamanya sejak zaman pengajian hingga peringkat pascasiswazah.
pic-3
Bidang itu juga menjadi tumpuan sebahagian besar karya penulisannya selama lebih tiga dekad.
Selain menggalakkan budaya membaca, beliau turut menekankan kepentingan membina kepakaran dalam bidang tertentu berbanding cuba menguasai terlalu banyak perkara pada satu-satu masa.
Idea itu turut dikongsikan beliau dalam buku baharunya “Eco-Shift Model: Climate Action for Water Sustainability”, yang menghuraikan bagaimana sesebuah organisasi atau kementerian mampu membawa perubahan budaya secara menyeluruh kepada masyarakat.
Setakat ini, beliau telah menghasilkan 55 buah buku merangkumi topik alam sekitar, pendidikan tinggi dan kembara serta enam buah buku kumpulan puisi, dan antara karya awal beliau yang mendapat sambutan ialah buku “Membaca: Motivasi & Kaedah”. Diterbitkan pada 1993 dan kini memasuki edisi ketiga cetakan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, buku itu merekodkan jualan kira-kira 15,000 naskhah.
"Berbanding 30 atau 40 tahun dulu, tidak ramai yang berminat untuk membaca bahan-bahan yang berat. Sekarang semakin ramai termasuklah dalam kalangan anak muda, termasuk karya Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjadi antara buku ‘best seller’," katanya yang melihat perkembangan itu sebagai petanda minat membaca masyarakat kian meningkat.
pic-4
Selain buku ilmiah, beliau turut menghasilkan karya berbentuk pengembaraan menerusi “Kembara Dunia: 100 Hari, 15 Negara, 1 Misi”, yang merakamkan pengalaman menyampaikan syarahan di 15 negara serta pertemuannya dengan tokoh akademik dunia, dan bakal diterbitkan juga dalam versi bahasa Inggeris pada Ogos 2026.
"Saya kini sedang bersiap sedia untuk menyampaikan Syarahan Keris Mas 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Sastera Alam Dalam Alam Sastera pada 23 Jun ini," katanya.
Menariknya, Zaini yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di enam kementerian antara 2013 hingga 2025, mengakui jarang berdepan masalah “writer's block” dan sentiasa mempunyai idea yang menurutnya hasil daripada pembacaan, pengalaman serta bidang yang diceburinya.
-Walaupun menghasilkan tiga hingga empat buku setahun, Zaini tidak mengamalkan budaya bekerja tanpa henti, sebaliknya memilih untuk menulis antara satu hingga dua jam sebelum berehat dan meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga atau beriadah.
"Saya suka sedikit gangguan ketika membaca atau menulis. Kita manusia. Kalau kita terus berkerja dari pagi sampai petang tanpa berhenti akan memudaratkan kesihatan dan daya cipta," katanya.
pic-5
Bagi Zaini yang juga Prof Felow di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepuasan terbesar sebagai penulis bukan terletak pada jumlah buku yang diterbitkan, tetapi peluang meninggalkan bahan ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
“Bidang penulisan merupakan antara bentuk amal jariah yang manfaatnya berterusan selagi ilmu yang ditinggalkan terus dibaca dan diamalkan. Kita berdoa semoga dianugerahi dividen pahala yang berkekalan," katanya yang menyasarkan untuk menghasilkan 100 buah buku sepanjang hayatnya.
-- BERNAMA