EKONOMI

MISC Baharui Pajakan Menara Dayabumi Dengan Petronas Dalam Perjanjian 15 Tahun Bernilai RM433 Juta

04/06/2026 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- MISC Bhd memeterai perjanjian sewaan jangka panjang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memperbaharui pajakan ruang pejabatnya di Menara Dayabumi di sini melalui urus niaga yang dianggarkan bernilai RM433 juta untuk tempoh 15 tahun.

Menurut syarikat maritim berkaitan tenaga itu, pengaturan sewaan jangka panjang berkenaan akan dapat mengukuhkan penjenamaan korporat dan identiti MISC secara dalaman dan luaran, dan pada masa sama mengulangi komitmennya untuk terus beroperasi di bangunan ikonik itu dan menyokong usaha pemeliharaan bangunan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, Petronas komited untuk melakukan naik taraf yang menyeluruh terhadap kawasan bersama dan kemudahan di bangunan itu bagi meningkatkan prestasi operasi, menambah baik pengalaman pengguna dan menyesuaikan bangunan dengan piawaian keselamatan dan kemampanan semasa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Tempoh perjanjian selama 15 tahun itu merangkumi tempoh awal untuk tiga tahun, diikuti empat tempoh pembaharuan automatik berturut-turut, masing-masing selama tiga tahun.

Menurut MISC, beberapa urus niaga melibatkan kepentingan Petronas dan syarikat itu telah dijalankan dalam tempoh 12 bulan sebelum pengumuman itu, dengan jumlah nilai urus niaga sebanyak RM65.81 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2564778